COVID-19

Koronavirus: Sarawak tolak kemasukan 42 warga asing

07/02/2020 07:59 PM

KUCHING, 7 Feb  -- Jabatan Imigresen Sarawak menolak kemasukan 42 warga asing dalam tapisan ketibaan pelawat sejak 1 Feb lepas hingga 7 pagi tadi, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menerusi satu kenyataan hari ini, jawatankuasa itu memaklumkan tapisan itu dibuat di lapangan terbang di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Mulu serta pusat pemeriksaan sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Biawak dekat Lundu, Sungai Tujoh (Miri) dan Mengkalap (Lawas).

“Daripada jumlah yang ditolak, 22 adalah warga China, Hong Kong (tujuh), Indonesia (enam), Brunei (empat) masing-masing seorang dari Great Britain, Jepun dan Singapura. Mereka tidak dibenarkan masuk kerana pasport menunjukkan mereka pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri merekodkan enam kes baharu pesakit dalam siasatan (PUI) setakat 10.30 pagi tadi iaitu lima daripadanya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak di sini manakala seorang lagi di Hospital Bintulu.

Kes baharu itu menjadikan kes PUI terkumpul di negeri ini kepada 46 sejak 10 Jan lepas.

Bagaimanapun, keputusan 34 kes didapati negatif daripada jangkitan manakala 12 lagi masih menunggu ujian makmal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan