COVID-19

Koronavirus: ERL ambil langkah cegah jangkitan 2019-nCoV

08/02/2020 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb 7-- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali KLIA Express, mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan regimen pembersihan yang ketat, enam kali sehari di semua stesennya berikutan penularan novel koronavirus 2019  (2019-nCoV).  

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Maintenance Support Sdn Bhd Thomas Baake berkata rejimen itu untuk memastikan keselamatan penumpang dan kakitangannya serta memberi keyakinan orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam.

"Seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan, kami memainkan peranan kami dengan membersihkan dan membasmi jangkitan di kawasan yang kerap disentuh di stesen seperti pemegang dan rel, rak bagasi, butang pintu, tandas selain membersihkan tempat duduk penumpang enam kali sehari.

"Pencuci kami juga menggunakan bahan penyahjangkit yang lebih kuat semasa proses pembersihan itu untuk mengekalkan standard kebersihan yang tinggi, kerana kami memberi tumpuan dalam menjaga lima bidang utama kami iaitu penumpang, kakitangan, tren, stesen, dan kesedaran," katanya kepada pemberita semasa taklimat ERL mengenai langkah pencegahan jangkitan 2019-nCoV di sini, hari ini.

Baake berkata ERL juga menyediakan bahan pembasmi kuman tangan di kaunter tiket dan menawarkan penutup hidung dan mulut kepada penumpang yang menunjukkan tanda-tanda selesema.

Stesen-stesen yang terlibat dalam rejimen pembersihan itu ialah KLIA, klia2, KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Salak Tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan