COVID-19

Peniaga pasar pagi di Banting tidak hirau perintah kawalan pergerakan

18/03/2020 02:29 PM

SHAH ALAM, 18 Mac  -- Beberapa pasar pagi sekitar Banting dekat sini  didapati  meneruskan perniagaan seperti biasa tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan.

Tular di media sosial rakaman video 10 saat menunjukkan Pasar Pagi Teluk Bunut, Banting dikunjungi orang ramai seperti tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan diumum kerajaan yang bermula hari ini hingga 31 Mac.

Mengikut Perintah Kawalan Pergerakan peringkat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang turut berkuat kuasa bagi tempoh sama, semua pasar malam dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi sepanjang  tarikh berkenaan.

Yang Dipertua MPKL, Muhamad Zain A Hamid berkata selain Pasar Pagi Telok Bunut, pihaknya juga mengesan dua lagi pasar pagi iaitu Pasar Pagi Banting dan Pasar Pagi Jenjarom turut beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata selaras dengan perintah itu, penguat kuasa yang bertugas mengarahkan kesemua peniaga menutup operasi mereka serta-merta.

“Mereka sempat berniaga kira-kira satu jam pagi tadi. Perkara itu berlaku disebabkan kedegilan peniaga enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Untuk hari ini, MPKL memberi amaran secara lisan kepada peniaga berkenaan. Namun, sekiranya mereka masih degil, kita akan keluarkan notis ingkar arahan dan membuka kertas siasatan untuk pendakwaan di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhamad Zain berkata orang ramai sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan antaranya di pasar raya berhampiran yang turut menjual barangan basah.

Justeru kata beliau, pihaknya akan terus memantau sekiranya sebarang aktiviti yang dilarang mengikut perintah berkenaan masih dijalankan di seluruh daerah itu sepanjang tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan insiden berkenaan dan berkata pihaknya juga akan memantau situasi terbabit untuk mengambil tindakan yang sewajarnya, jika perlu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan