COVID-19

KP Kesihatan rayu rakyat ambil serius Perintah Kawalan Pergerakan

18/03/2020 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil serius Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac dalam usaha kerajaan mencegah penyebaran baharu penyakit COVID-19.

"Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain," katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menggesa agar masyarakat membantu Kementerian Kesihatan dengan memainkan peranan masing-masing ke arah memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

"(Ini) kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Menegaskan bahawa kegagalan bukan pilihan dalam soal menangani COVID-19, Dr Noor Hisham turut memperkatakan tentang bahaya yang mungkin muncul jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa.

"Kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah," katanya.

Beliau mengakhiri hantaran itu dengan pesanan berikut kepada orang ramai: "Duduk di rumah dan jangan keluar."

Kerajaan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac ini di seluruh negara untuk mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai orang.

Malaysia mencatat dua kematian pertama akibat COVID-19 semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan