BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
COVID-19

Pusat peranginan, pulau dan hotel Terengganu ditutup mulai hari ini - Menteri Besar

18/03/2020 03:22 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Mac -- Semua pusat peranginan, pulau-pulau serta hotel di Terengganu ditutup selama dua minggu bermula hari ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan COVID-19 yang setakat ini telah mengorbankan dua individu.

Justeru Ahmad Samsuri berkata rakyat perlu patuh dengan arahan kerajaan dan tidak menjadikan tempoh sekatan dua minggu ini sebagai waktu untuk bercuti serta bersantai di hotel-hotel atau pusat peranginan bersama keluarga.

"Saya gesa supaya rakyat tidak memandang remeh arahan ini kerana ia bukan sekadar saranan begitu sahaja, tetapi diperuntukkan dalam perlembagaan undang-undang.

Jadi janganlah mementingkan diri dan bercita-cita mengambil tempoh dua minggu ini untuk pergi 'bercuti' dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab berkumpul di premis kedai makan menjamu selera walaupun arahan yang jelas sudah dikeluarkan.

"Saya merayu sangat-sangat kepada rakyat supaya patuh arahan..ini bukan masa untuk kita 'bersuka ria' tetapi memainkan peranan masing-masing.

Untuk tempoh ini duduklah di rumah masing-masing dan tidak menjadikan kepulangan kampung kali ini  seperti tempoh bercuti hari raya," katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan