COVID-19

ATM nafi beri kebenaran pukul orang awam

21/03/2020 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kandungan rakaman suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kononnya anggotanya diberi kebenaran untuk memukul orang awam ketika menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya, rakaman suara dan mesej informasi yang mendakwa kaedah itu akan diguna pakai, dalam membantu Polis Diraja Malaysia.

“Masyarakat diminta berhenti mesej atau informasi itu, kerana boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik, dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu, boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sementara itu, Affendi berkata masyarakat tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini merupakan tugas sekunder ATM di waktu aman, iaitu berperanan membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara.

“Orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, agar usaha membendung penularan COVID-19, dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, telah tular satu rakaman suara berdurasi 39 saat, yang mendakwa anggota tentera akan memukul orang awam, sekiranya melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan