COVID-19

30 termasuk pemilik premis pusat hiburan di Ipoh didenda RM1,000

29/05/2020 05:11 PM

IPOH, 29 Mei -- Seramai 29 individu termasuk tiga wanita didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berhimpun di sebuah pusat hiburan, Selasa lepas.

Kesemua tertuduh yang berumur 19 hingga 37 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan bagi maksud bersosial di dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Lau Ek Ching, Ipoh, kira-kira pukul 9.30 malam, 26 Mei lepas.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Turut didenda jumlah yang sama ialah pemilik pusat hiburan yang terlibat kerana menganjurkan aktiviti terlarang.

Pemilik premis berumur 35 tahun itu didakwa menganjurkan aktiviti terlarang iaitu aktiviti perniagaan restoran di dalam pub itu di lokasi dan masa yang sama.

Dia didakwa melanggar Peraturan 3 Peraturan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee manakala 29 tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) G. Harbhajan Singh dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Lau Chee Foon.

Terdahulu, Darinee memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama yang mempersiakan segala usaha keras membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Lau memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah terhadap anak guamnya atas alasan wanita berusia 29 tahun itu hanya menghantar barangan kecantikan yang dijualnya di premis hiburan itu.

Harbhajan pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah terhadap 29 tertuduh diwakilinya atas alasan mereka menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku bersalah dan tiada melibatkan sebarang keganasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan