Jumaat, 02 Oktober 2020

11,484

Jumlah kes

260

Kes baharu

10,014

Jumlah discaj

136

Jumlah kematian
0 Kes terbaharu
SETAKAT 5 PM, 1 OKT 2020 (Sumber KKM)
PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU
05/08/2020 07:36 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Penggunaan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan maklumat pelanggan adalah lebih selamat berbanding mencatatkan ia di dalam buku secara manual atau menggunakan aplikasi lain, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N. Ganabaskaran.

Beliau berkata keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di semua premis perniagaan bukan sahaja memudahkan proses pengesanan kontak malah ia dilihat dapat melindungi maklumat peribadi pelanggan.

Menurut beliau, penggunaan MySejahtera secara seragam di semua premis dilihat memudahkan pelbagai pihak terutamanya pelanggan yang hanya perlu memuat turun satu aplikasi sahaja.

"Dengan memuat turun aplikasi itu kita boleh gunakan di merata-rata tempat, bagi saya ia lebih selamat dalam melindungi maklumat peribadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kebimbangannya terhadap penyalahgunaan butiran peribadi seperti penjualan nombor telefon bimbit oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Isnin lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kerajaan akan mewartakan kewajipan pengunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara, menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan masalah untuk mengesan kontak rapat kes jangkitan COVID-19 berikutan ada premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, atau menggunakan aplikasi lain untuk tujuan pengesanan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Jawahar Ali ketika diminta mengulas mengenai aplikasi MySejahtera berkata pihaknya sentiasa menyokong apa sahaja hasrat kerajaan dalam membendung COVID-19 yang tentunya memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata ahli persatuannya sudah menggunakan aplikasi seperti MySejahtera sejurus selepas ia diperkenalkan dan beliau berharap kerajaan dapat melakukan penambahbaikan. 

"Aplikasi seperti ini lebih selamat, kerana kita bimbang apabila berlaku perkongsian pen ketika menulis maklumat peribadi di buku ia dilihat lebih meningkatkan risiko dijangkiti. Mungkin boleh ditambah baik dengan menyediakan ruang suhu di dalam aplikasi itu agar mudah pelanggan merekodkan suhu mereka," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan