COVID-19

USM saran pelajar dari Sabah, zon merah tangguh pulang ke kampus

29/09/2020 08:55 PM

GEORGE TOWN, 29 Sept -- Universiti Sains Malaysia (USM) menyarankan agar semua pelajar universiti itu yang datang dari Sabah dan zon merah di negeri lain menangguhkan perjalanan balik ke kampus memandangkan penempatan kuarantin di dalam kampus sangat terhad.

Menurut USM dalam kenyataan hari ini, pelajar dari Sabah termasuk zon merah atau tidak dan zon merah bagi negeri-negeri lain boleh mengikuti pengajian secara dalam talian.

"Pelajar baharu (selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain) boleh mendaftarkan diri pada 2, 3 dan 4 Okt secara pandu lalu (di kampus USM), manakala pelajar baharu dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftarkan diri pada 5 Okt secara dalam talian melalui laman web pohon.usm.my atau aplikasi Hebat@USM (Android).

"Bagi pelajar senior selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftar kursus secara dalam talian mengikut jadual yang ditetapkan dan dibenarkan masuk kampus mulai 9 Okt," menurut kenyataan itu.

USM juga meminta semua pelajar membuat deklarasi kesihatan secara dalam talian tiga hari sebelum datang ke kampus dan mereka juga diminta mematuhi panduan pentadbiran dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh universiti.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa dan pelajar sahaja dibenarkan datang dengan kenderaan yang akan mendaftar secara pandu lalu dan hanya pelajar sahaja dibenarkan turun bersama bagasi serta barangan manakala ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali turun dari kenderaan.

"Bagi semua pelajar dari Sabah dan zon merah negeri-negeri lain, mereka boleh kembali ke kampus apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengumuman rasmi tentang status kawasan-kawasan tersebut. Bagi pendaftaran secara dalam talian, SOP berkenaan perkara tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Maklumat lanjut berkenaan urusan pendaftaran pelajar baharu, boleh menghubungi Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar di talian 1 300 888 876 / 04-653 3196 / 4663 / 3425 / 2688 atau emel admissions@usm.my, atau Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) di talian 04-653 3106 / 5825 / 5823 / 3482.

Pelajar senior boleh menghubungi  BHEPA untuk maklumat lanjut.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan