COVID-19

FAMA Johor rancang laksana e-wallet di semua pasar tani

21/10/2020 10:59 PM

BATU PAHAT, 21 Okt -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor merancang untuk melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai (e-wallet) di semua pasar tani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata kaedah berkenaan dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini, bermula dengan Pasar Tani Datin Halimah, di sini, sebelum diperluas ke pasar tani lain.

Beliau berkata kaedah pembayaran itu juga akan diperkenal kepada semua usahawan FAMA di Johor termasuk mereka yang menjalankan perniagaan melalui program Agro Bazaar, kerana ia didapati sesuai dengan situasi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Kaedah e-wallet ini merupakan satu nilai tambah usahawan untuk memasarkan produk masing-masing, selain memudahkan pelanggan bagi urusan jual beli mereka tanpa menggunakan tunai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pemasaran Digital Melalui Agro Bazaar Online (ABO) 2020, di sini, petang tadi yang turut dihadiri Pengarah FAMA Johor Shahrizan Sudiman dan Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas serta 50 usahawan FAMA di daerah ini.

Sementara itu, Samsolbari berkata ABO merupakan platform yang dilancarkan pada Dis 2015, bertujuan membantu meningkatkan jualan produk usahawan kecil dan sederhana serta memudahkan orang ramai dan pembeli mendapatkan produk tertentu.

“ABO diaktifkan kembali pertengahan Mac lepas berikutan penularan COVID-19 dan orang ramai menjadikan pembelian dalam talian sebagai platform utama mereka mendapatkan barangan. Sehingga kini, usahawan yang menggunakan kaedah ABO telah mencecah 400 orang di Johor dan hampir 6,000 di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA\

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan