COVID-19

Pasar Borong Pandan ditutup seminggu untuk sanitasi

24/01/2021 09:24 PM

JOHOR BAHRU, 24 Jan  -- Pasar Borong Pandan dekat Kangkar Tebrau, di sini ditutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Jan bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan di pasar berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu ketika dihubungi Bernama mengesahkan penutupan berkenaan dan memaklumkan bahawa notis perintah tutup premis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi.

Beliau berkata pasar terbabit akan beroperasi semula selepas kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan mengikut tarikh ditetapkan.

"Apabila sempurna kerja-kerja sanitasi disahkan oleh KKM, pasar berkenaan sudah boleh dibuka," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru Tai Wah Sun berkata pemilik, peniaga ikan dan sayuran termasuk pekerja dan pemandu lori di Pasar Borong Pandan telah mengambil inisiatif menjalani ujian saringan kesihatan meskipun notis penutupan pasar dikeluarkan pagi tadi.

Katanya, kebanyakan warga pasar berkenaan sudah menjalani ujian saringan beberapa hari sebelumnya sebagai tindakan awal pencegahan penularan COVID-19.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan