COVID-19

Satu lagi maahad tahfiz di Kelantan dikenakan PKPD - Ismail Sabri

20/04/2021 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 20 April -- Maahad Tahfiz AlQuran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Mei berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di kawasan itu dibuat setelah penilaian risiko dijalankan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) apabila 97 kes positif direkodkan menerusi 243 ujian saringan. 

“Pelaksanaan PKPD bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di Kelantan turut dikenakan PKPD bermula 19 April lepas apabila 43 kes positif COVID-19 direkodkan menerusi 396 ujian saringan.

Ismail Sabri seterusnya memaklumkan penamatan dua PKPD di Sarawak iaitu di  Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman esok, dan Kampung Batu Gong, Siburan, Serian pada hari ini susulan penurunan kes baharu, serta kluster terkawal.

Sementara itu, katanya 110 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 106 dikenakan kompaun manakala dua lagi direman. 

Merujuk kepada Operasi Benteng pula katanya 23 pendatang tanpa izin ditahan dan 11 buah kenderaan darat turut dirampas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan