BERITA PRU15   PRU15 Tioman: Calon PN saran kerajaan Pahang beri dua hari cuti umum | Wan Rosdy sekali lagi diberi mandat terajui kerajaan Pahang | PRU15 Padang Serai: Majikan diminta beri kebenaran pekerja keluar mengundi | Anwar alu-alukan komitmen Warisan sokong pembentukan kerajaan perpaduan | DUN Tioman: Calon BN sambut baik kesediaan calon PH beri laluan | 
COVID-19

Polis tingkat pemantauan, sekatan jalan raya ditambah, Pasukan Pantau SOP ditubuh

09/05/2021 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei -- Polis meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan di sempadan negeri dan daerah serta kawasan-kawasan tumpuan awam bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan tidak melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah.

Malah beberapa Ketua Polis Negeri turun padang hari ini bagi memastikan penguatkuasaan pematuhan SOP dilaksanakan dalam usaha memutuskan penularan jangkitan wabak yang boleh membawa maut itu.

Di bandar raya ini yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jumaat lepas, polis Kuala Lumpur menubuhkan 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP terdiri daripada lima pegawai dan 1,200 anggota yang akan digerakkan ke kawasan tumpuan ramai untuk melakukan pemantauan. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim yang ditemui selepas meninjau sendiri pematuhan SOP PKP di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini berkata pasukan itu juga akan memberi peringatan berterusan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya sentiasa mematuhi SOP.

Beliau berkata pihaknya turut dibantu 61 pasukan penguat kuasa daripada agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang masih bersikap sambil lewa dan ingkar arahan yang ditetapkan, katanya.

Di JOHOR pula, walaupun larangan rentas negeri dan daerah dikeluarkan, masih ramai yang mencuba nasib membuat permohonan untuk merentas negeri dan antara alasan yang diberikan ialah untuk pulang  berhari  raya menziarah keluarga.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam tempoh 25 April hingga semalam pihaknya menerima 19,090 permohonan untuk merentas negeri dan daerah.

Sebanyak 465 permohonan ditolak berikutan alasan yang tidak munasabah, katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Seelong di sini.

“(Lepas ini) dah tiada nasihat-nasihat. Banyak kali nasihat dan amaran (telah diberikan sebelum ini). Kalau kita tangkap (lepas ni), kita akan terus kompaun dan jangan cakap polis tidak bertimbang rasa.

“Amaran sudah diberi jadi perlu bertanggungjawab,” katanya sambil memberitahu seramai 1,212 pegawai dan anggota bertugas pada Aidilfitri ini dengan 840 orang di sekatan jalan raya (SJR).

Di PULAU PINANG pula, polis menambah sekatan jalan raya daripada 15 kepada 41 berikutan pelaksanaan PKP di tiga daerah dan tiga mukim di negeri itu bermula esok hingga 23 Mei bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri atau daerah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata selain itu polis juga akan melakukan sekatan jalan raya bergerak di 10 laluan tikus yang dikenal pasti.

“Seramai 3,500 daripada 6,022 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat dalam penugasan berkaitan COVID-19 termasuk SJR serta Ops COVID manakala selebihnya menjalankan tugasan hakiki sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Tiga daerah yang dikenakan PKP di negeri itu ialah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Bandar Butterworth dan Mukim 14 di Seberang Perai Utara (SPU) serta Mukim 12 di Barat Daya.

Sahabudin berkata pihaknya juga akan lebih teliti dalam meluluskan permohonan rentas negeri atau daerah bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan dengan memberikan maklumat tidak tepat untuk melakukan perjalanan.

"Pelbagai alasan yang diberikan tapi kami mahukan bukti...jika salah guna kebenaran yang diberikan, tiada lagi amaran, kita akan terus kompaun," katanya.

Sementara itu di IPOH,  Polis Kontinjen Perak menambah sebanyak 31 SJR di seluruh negeri susulan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa esok sehingga 6 Jun ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata penugasan SJR itu melibatkan seramai 620 pegawai dan anggota sepanjang tempoh berkenaan.

"Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan SJR sebanyak 58 dan melibatkan penugasan pegawai polis seramai 933 orang.

Sebanyak 27 SJR sedia ada bagi tempoh PKPP sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata sehingga kini,  terdapat 450 pasukan pemantau pematuhan SOP yang digerakkan bagi tujuan itu 

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan