BERITA COVID–19   Kit ujian kendiri COVID: 34 kes dijual melebihi harga ditetapkan | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | COVID: Sabah benarkan 300 jemaah solat Jumaat di masjid utama | Ujian pengesanan COVID-19 langkah tepat lindungi Langkawi-MB Kedah | 
COVID-19

MAIPS arah masjid di Kuala Perlis hadkan aktiviti pengimarahan dan ketatkan SOP

01/08/2021 11:03 AM

KANGAR, 1 Ogos -- Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Kuala Perlis mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan ketatkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tindakan tersebut diambil susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.

"Semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah enam masjid yang terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

Titah baginda mereka yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.

Baginda bertitah orang ramai diminta segera  membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang  sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti solat jemaah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam kenyataan semalam berkata sebanyak 16 kes baharu COVID-19 dikesan di negeri ini semalam.

Kenyataan tersebut menasihati orang ramai  agar terus berwaspada dan jangan alpa, khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang tinggi kes COVID-19.

"Semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari," katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan