BERITA COVID–19   Kit ujian kendiri COVID: 34 kes dijual melebihi harga ditetapkan | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | COVID: Sabah benarkan 300 jemaah solat Jumaat di masjid utama | Ujian pengesanan COVID-19 langkah tepat lindungi Langkawi-MB Kedah | 
COVID-19

Guna jentera pengorek kaut gali lubang kubur jenazah COVID-19

01/08/2021 02:01 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di ibu negara mutakhir ini memaksa pasukan pengurusan pengebumian jenazah untuk menggunakan jentera pengorek kaut bagi menggali lubang kubur di beberapa tanah perkuburan sekitar Kuala Lumpur. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ia lebih-lebih lagi apabila jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah  (TPIRS) Lebuhraya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara kadangkala menjangkau sehingga lebih 30 jenazah sehari. 

“Pihak jabatan terpaksa guna langkah lebih proaktif dengan menggunakan pengorek kaut iaitu dengan menyewa jentera bagi menggali lubang kubur dan penggali kita yang mahir selepas itu akan membuat liang lahad pula. 

“Jentera ini juga kami gunakan untuk membantu menutup lubang kubur, semua ini adalah bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah,” katanya kepada Bernama. 

Terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas COVID-19 yang menguruskan jenazah di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, merangkumi 74 petugas JAWI,  21 petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta 18 daripada Kor Agama Angkatan Tentera.

Bagi petugas sukarelawan pula,  terdapat 37 penggali kubur dan 54 pemandu jenazah, katanya. 

Pasukan berkenaan menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ), dan Institut Kanser Negara (IKN).

Mohd Ajib berkata setakat ini jumlah jenazah paling banyak diuruskan pasukan berkenaan sehari ialah pada Ahad lepas, iaitu sebanyak 93 jenazah, manakala semalam 74 jenazah. 

Setakat 8 pagi ini, sebanyak 2,352 jenazah COVID-19 telah diuruskan pasukan berkenaan sejak Mac tahun lepas merangkumi 1,320 jenazah lelaki dan 1,032 jenazah wanita, majoritinya berusia 41 hingga 60 tahun iaitu sebanyak 959 jenazah, diikuti 938 jenazah berusia 61 hingga 80 tahun.

Bagaimanapun Mohd Ajib berkata beliau bersyukur kerana semua ujian dan cabaran dihadapi pasukan berkenaan khususnya di hospital dan tanah perkuburan dapat dihadapi menerusi kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan.

“Kami sentiasa berusaha jaga kebajikan mereka dan berusaha pastikan semua pengurusan jenazah diuruskan mengikut syariah,” katanya sambil menambah, pasukan berkenaan turut dibekalkan bantuan makanan setiap hari serta mengambil kira keperluan mereka yang berkaitan.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan