COVID-19

Mesyuarat Khas Dewan Negara ditangguh berikutan risiko COVID-19

01/08/2021 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli-ahli Dewan Negara bertarikh hari ini, pejabat Yang Dipertua Dewan Negara telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Katanya penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa terhadap penularan wabak COVID-19 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu," demikian menurut notis itu.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin mengeluarkan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan mengenai penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, esok (2 Ogos)  ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pada Jumaat, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata 11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen ketika berlangsungnya persidangan berkenaan, dengan 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) menggunakan air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan