BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
COVID-19

Vaksin remaja: Ikut arahan, SOP yang ditetapkan - Khairy

24/09/2021 08:06 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan pusat pemberian vaksin (PPV), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat dalam pelaksanaan program vaksinasi remaja, agar tidak mengeluarkan sebarang arahan dan prosedur operasi standard (SOP) berbeza.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga, untuk membawa remaja bersekolah ke PPV mengikut tarikh dan masa janji temu yang ditetapkan.

“Saya ingin mengingatkan semua PPV yang terlibat, pihak PKD dan juga PPD supaya mengikut arahan atau ketetapan yang telah diumumkan berhubung kaedah pemberian vaksin kepada remaja.

“Saya mohon supaya tidak ada arahan atau SOP yang berbeza diberikan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan. Saya telah jelaskan dan timbalan menteri pun sudah menjelaskan beberapa hari lepas,” katanya dalam sidang media berkaitan perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan kesesakan dan kluster jangkitan COVID-19.

Khairy menasihatkan ibu bapa supaya tidak bergegas ke PPV bersama anak untuk vaksinasi, kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama PKD dan PPD terlebih awal.

Beliau berkata pemberian vaksinasi remaja secara berjadual di 156 PPV Awam, Integrasi dan sekolah bermula semalam, dengan pemberian vaksinasi tanpa janji temu hanya dibenarkan untuk remaja yang tidak bersekolah, remaja sedang belajar di institusi pengajian awam dan remaja yang ‘home schooling’.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang meneliti penyelesaian bagi memantapkan fungsi daftar keluar (checkout) di aplikasi MySejahtera.

Beliau mengambil maklum beberapa insiden berlaku apabila pengguna terlupa untuk mendaftar keluar selepas selesai berurusan di sesuatu premis.

“Saya sendiri sudah ‘tidur’ di pasar raya kerana terlupa ‘checkout’. Kita akan lihat apakah kaedah yang terbaik untuk memastikan ciri-ciri ‘checkout’ digunakan dengan sempurna.

“Niat fungsi ‘checkout’ itu untuk kita ketahui di mana anda berada di sesuatu lokasi dengan lebih tepat dan tahu anda berada di lokasi itu untuk tempoh yang spesifik. Niat memang baik, tetapi pelaksanaannya perlu dimantapkan lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan