BERITA COVID–19   NS minta Kerajaan Persekutuan timbang beri dos penggalak kepada Exco, ADUN | Hanya 1.6 peratus daripada 6,148 kes baharu COVID kategori tiga, empat dan lima - KP | Tiada kes COVID-19 di Penjara Reman P.Pinang sejak September | Permohonan moratorium di bawah PEMULIH masih dibuka - MOF | COVID: Majlis hari jadi cetus kluster Kimolohing di Ranau | 
COVID-19

Hanya 0.7 peratus guru di Selangor belum terima vaksin

24/09/2021 08:22 PM

KUALA SELANGOR, 24 Sept -- Hanya 0.7 peratus atau kira-kira 300 guru sahaja yang belum menerima vaksin COVID-19 daripada 61,000 guru yang berkhidmat di Selangor,  kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Anismah M Nor.

Beliau berkata susulan itu guru-guru tersebut masih dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa, tetapi tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas selaras dengan ketetapan yang diberi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mereka yang belum divaksin digalakkan mengajar murid secara dalam talian, kerana kita bimbang sekiranya interaksi secara bersemuka boleh mendatangkan kesan atau jangkitan kepada warga sekolah,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Prestij Pembelajaran 2021 Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar di sini hari ini.

Anismah berkata golongan tersebut memberikan pelbagai alasan peribadi, namun pihaknya akan terus menggunakan pelbagai pendekatan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi menasihati dan membimbing guru supaya mengambil vaksin COVID-19.

Terdahulu, Noh mengumumkan peruntukan RM30,000 akan diberikan kepada setiap daerah bagi pelaksanaan Prestij Pembelajaran di seluruh Selangor, susulan kejayaan program itu yang dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor pada tahun lalu.

Katanya Prestij Pembelajaran akan menumpukan para pelajar dari golongan B40 bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta murid pemulihan khas bagi penguasaan 3M (menulis, membaca, mengira) yang akan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Bank Rakyat.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi penyediaan modul-modul yang sesuai untuk anak-anak pelajar dan bayaran sagu hati kepada guru-guru yang terlibat serta untuk program motivasi,” katanya.

Menurutnya Prestij Pembelajaran merupakan satu nilai tambah untuk anak-anak menuntut ilmu bagi subjek-subjek terpilih di luar waktu persekolahan, yang diadakan pada waktu malam atau hujung minggu secara bersemuka atau dalam talian mengikut kesesuaian.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan