BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
COVID-19

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia kurangkan beban hal sewaan

24/09/2021 08:41 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept -- Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia membantu mengurangkan beban berkaitan hal sewaan rumah bagi golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Nurrul Naqiah Sulaiman antara penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia berkata kos menyewa rumah baginya adalah membebankan kerana beliau seorang sahaja yang perlu menampung keluarga dengan pendapatan RM2,000 sebulan setelah suaminya kehilangan kerja dan masih tidak mendapat pekerjaan.

Berdepan kesempitan tersebut, keluarga Nurrul Naqiah yang dikurniakan dua cahaya mata terpaksa menumpang di rumah keluarga mertua.

"Kita terpaksa menetap di keluarga mertua dan ini menyebabkan kita (rasa) terbeban dan membebankan keluarga mertua kerana ramai juga yang tinggal dalam satu rumah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nurrul Naqiah berkata beliau juga perlu memberi perhatian yang lebih kepada salah seorang anaknya yang autisme dan memerlukan ruang.

Nurrul Naqiah, 30, antara lima penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang menerima kunci rumah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Kelima-lima penerima itu menerima unit rumah yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2.

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang diuruskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menjadi tempat teduhan kepada individu yang kehilangan dan kekurangan pendapatan, kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi dan terdesak menumpang di rumah saudara mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum iaitu RM124 sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.

Sally Sick, 45, berkata beliau terharu dan bersyukur dipilih sebagai penerima inisiatif berkenaan kerana menyewa rumah ketika ini baginya adalah membebankan kerana pendapatannya terjejas akibat COVID.

"Saya baru mulakan perniagaan online (dalam talian), pendapatan pun lembab. Memang terbeban kerana pandemik COVID-19 kerana pendapatan terjejas dan kos sewa rumah pun mahal," katanya.

Lebih melegakan, katanya adalah apabila perdana menteri mengumumkan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci kepada penerima inisiatif berkenaan. 

Bagi Hamidah Mohamad, 36, berkata beliau lega kerana akhirnya dapat tinggal di rumah sendiri walaupun menyewa kerana beliau sekeluarga perlu berpindah dari rumah mertua setelah adik iparnya akan berkahwin tidak lama lagi.

Ketika ini, beliau dan suami menetap di rumah mertua yang dihuni 10 orang.

"Memang sukar tapi terpaksa menumpang kerana sangat terkesan dengan pandemik COVID-19," katanya yang mempunyai dua cahaya mata berumur setahun dan enam tahun.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan