BERITA COVID–19   NS minta Kerajaan Persekutuan timbang beri dos penggalak kepada Exco, ADUN | Hanya 1.6 peratus daripada 6,148 kes baharu COVID kategori tiga, empat dan lima - KP | Tiada kes COVID-19 di Penjara Reman P.Pinang sejak September | Permohonan moratorium di bawah PEMULIH masih dibuka - MOF | COVID: Majlis hari jadi cetus kluster Kimolohing di Ranau | 
COVID-19

Negara terus rekod kes sembuh tinggi melebihi kes baharu

25/09/2021 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Jumlah harian pesakit yang sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 18,074 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 13,899 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,968,541 orang.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 211 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 13,688 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Selain itu, beliau berkata terdapat 1,071 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 847 kes disahkan COVID-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 359 kes positif sementara 242 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 12 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan lima kluster tempat kerja, tiga kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dua kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan lain dan keagamaan. 

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) seluruh negara pula ialah 0.90 dengan Pahang muncul sebagai negeri yang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.01 manakala Labuan menjadi satu-satunya negeri merekodkan R-Naught sifar.

 Beliau juga berkata enam kajian tempatan terhadap mutasi protein pepaku COVID-19 mengesan 475 varian yang membimbangkan (VOC) antara 13 Sept lepas hingga hari ini membabitkan 472 varian Delta dan tiga varian Beta.

Katanya ia dikenal pasti melalui kajian berterusan oleh Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Institut Genom Malaysia (MGI), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) serta Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM) 

Dr Noor Hisham berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) ialah 1,860 setakat hari ini dengan 1,840 kes adalah VOC manakala 20 adalah VOI.

"Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

“Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa tiga kes varian Eta,” katanya. 

Beliau berkata data kematian dan data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman GitHub dan laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan