COVID-19

Hanya 1.6 peratus daripada 6,148 kes baharu COVID kategori tiga, empat dan lima - KP

27/10/2021 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt -- Hanya 1.6 peratus atau 101 daripada 6,148 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, terdiri daripada pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata baki 6,047 kes atau 98.4 peratus pula terdiri daripada individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 6,127 kes melibatkan penularan dalam negara manakala 21 kes adalah kes import menjadikan kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2,448,372,” katanya dalam kenyataan perkembangan kes COVID-19 dalam negara hari ini. 

Menurut beliau, sebanyak 7,595 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,347,985. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sembilan kluster baharu dikenal pasti dengan enam daripadanya melibatkan kluster tempat kerja selain masing-masing satu bagi kluster komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan lain. 

Beliau berkata terdapat 563 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 292 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini adalah 0.91 dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan merupakan satu-satunya kawasan yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan