COVID-19

Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron

07/12/2021 12:06 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 7 Dis  -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan  varian Omicron dalam dua kes import pertama COVID-19, yang pada awalnya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 malam tadi, MOH memaklumkan pengesahan itu disusuli keputusan penjujukan genom keseluruhan untuk kes berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional republik itu.

“Kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom ringan, batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sebaik tiba di Singapura pada 1 Dis, dan tidak berinteraksi dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

MOH pada 2 Dis mengumumkan ia mengesan dua kes import COVID-19 yang dilabel sebagai Kes 271487 dan 271598 yang positif dalam ujian awal untuk varian itu. 

Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Dis.

Pada Ahad (5 Dis) MOH mengesan satu lagi kes import COVID-19 yang positif ujian awal untuk varian Omicron.

Kes itu berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes pertama.

Sehingga 5 Dis, bilangan individu lengkap vaksin atau menerima dua dos vaksin COVID-19 adalah 96 peratus daripada populasi yang layak di negara itu.

Sebanyak 87 peratus populasi negara itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 28 peratus menerima suntikan penggalak.

Sehingga Isnin 6 Dis, Singapura melaporkan 269,873 kes COVID-19 dengan 763 kematian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan