COVID-19

Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5

16/05/2022 11:12 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 16 Mei (Bernama) – Singapura pada Isnin merekodkan kes COVID-19 jangkitan tempatan melibatkan dua kes varian BA.4, dan satu kes varian BA.5, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

"Ini adalah kes komuniti pertama yang disahkan membabitkan varian BA.4 dan BA.5," memetik laman sesawang MOH. 

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah baru-baru ini mengklasifikasikannya sebagai Varian Membimbangkan (VOC).

Varian BA.4 dan BA.5 dikesan melalui ujian terhadap sampel positif tindak balas rantai polimerase (PCR) serta disahkan melalui penjujukan genom (WGS).

“Semua kes sama ada tanpa gejala atau mempunyai simptom ringan seperti demam, batuk, hidung berair dan sakit tekak; dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital. 

“Mereka telah lengkap divaksinasi, dan menerima dos penggalak mereka,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga kes telah menjalani kuarantin kendiri setelah diuji positif COVID-19.

Varian BA.4 dan BA.5 pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada awal 2022 dan sejak itu menjadi varian dominan. 

Kedua-dua varian mengandungi mutasi spike protein dan dilihat menjejaskan sistem imun dan kadar keberjangkitan lebih tinggi berbanding BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan gelombang Omicron awal tahun ini.

Memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 1,000 kes BA.4 dan BA.5 telah dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 negara setakat 11 Mei 2022.

“Kami akan meningkatkan pengawasan dan terus memantau penularan BA.4 dan BA.5 di Singapura,” tambah kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan