BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
COVID-19

Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan

01/07/2022 11:33 AM

ROM, 1 Julai (Bernama) -- Itali pada Khamis mengemas kini protokol kesihatan COVID-19 di tempat kerja, susulan jumlah jangkitan di negara itu terus meningkat.

Peraturan baharu itu, yang dibangunkan Kementerian Buruh dan Dasar Sosial dan Kementerian Kesihatan, mewajibkan penggunaan pelitup muka bagi mereka yang mempunyai risiko kesihatan tertentu, atau di tempat kerja yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

Garis panduan itu juga menggalakkan "gerak kerja pintar" -- bekerja dari rumah dan bukan di pejabat -- waktu bekerja secara penggiliran dan aturan keluar masuk secara khusus di kawasan umum seperti pantri dan bilik persalinan.

Protokol itu turut terpakai bagi sektor swasta, dan pekerja diminta melakukan pemeriksaan suhu badan.

Peraturan itu dikuat kuasa susulan bilangan jangkitan bertambah teruk dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut laporan Yayasan Gimbe, sebuah entiti pemantauan kesihatan, jangkitan mingguan COVID-19 di negara itu meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, berbanding seminggu sebelumnya, lapor Xinhua.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, Yayasan Gimbe juga memaklumkan kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 meningkat lebih 25 peratus dalam tempoh sama.

Sementara itu, mereka yang dirawat di unit rawatan rapi bertambah sebanyak 15 peratus, dan kadar kematian mingguan meningkat sebanyak 16 peratus.

Itali melaporkan lebih 83,000 kes jangkitan baharu pada Khamis, berbanding 94,000 kes sehari sebelumnya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan