MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Jalan Simpang Pulai-Blue Valley akan dibuka apabila selamat sepenuhnya - Saarani

09/12/2021 03:08 PM

KAMPAR, 9 Dis -- Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang ditutup sementara waktu berikutan insiden tanah runtuh minggu lepas akan dibuka semula selepas Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kawasan itu selamat sepenuhnya untuk dilalui semua jenis kenderaan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ketika ini kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sedang giat dijalankan dan proses pembaikan perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan runtuhan berulang.

"Sekiranya terburu-buru (pembaikan), takut nanti kawasan itu runtuh semula dan kos pembaikan akan meningkat berganda.

"Jadi, JKR akan melakukan kajian terlebih dahulu termasuk melihat sama ada berlaku potensi pergerakan tanah di kawasan itu dan lain-lain tempat sebab air yang turun biasanya meresap ke dalam tanah di bukit dan kita tidak tahu apa berlaku di situ," katanya kepada pemberita selepas melawat Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 atau TT5 di Tanjung Tualang di sini hari ini.

Pada 2 Dis, seorang pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, maut selepas kenderaan mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata beliau bersama beberapa wakil kerajaan negeri akan menyertai Ekspo 2020 Dubai pada 26 Dis hingga 2 Jan depan.

Beliau berkata antara produk pelancongan yang akan diketengahkan pada ekspo itu ialah Embun Sahom di Gopeng, Kuak Hill Resort di Lenggong, TT5 dan Taman Fun Maze di Tanjung Tualang serta Majlis Bandaraya Ipoh.

"Kita (Perak) mempunyai pelbagai produk yang boleh dijual antaranya kapal korek TT5 terutama untuk menarik pelancong asing supaya datang melancong ke negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata beberapa duta dari Eropah akan melakukan lawatan kerja ke Perak pada Mac depan.

"Dua minggu lepas, Duta Jerman di Malaysia Dr Peter Blomeyer mengadakan lawatan kerja ke Perak dan telah membantu untuk mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik yang ada di negeri ini kepada duta negara-negara Eropah.

"Mereka (duta) akhirnya telah mengadakan janji temu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) untuk berkunjung ke negeri ini nanti," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan