MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Expo Dubai 2020: MHTC jalin kerjasama dengan IASB dan HADID

14/01/2022 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan  -- Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menjalin kerjasama dengan International Assistance Sdn Bhd (IASB) dan HADID International Services (HADID), yang antara lain akan membantu dalam membuka industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia kepada penerokaan pasaran baharu.

Dalam satu kenyataan hari ini MHTC berkata Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan dua syarikat berkenaan dimeterai di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Daud Mohd Arif berkata perkongsian ini akan membolehkan pihak industri meraih kelompok pelanggan baharu di samping membina jenama kukuh bagi penjagaan kesihatan Malaysia di pasaran ASEAN dan Timur Tengah.

“Setelah berjaya mengharungi pandemik sepanjang 18 bulan lepas, kita telah sedar betapa pentingnya membentuk perkongsian strategik untuk memangkin pemulihan industri menuju ke tahun 2022.

"Adalah penting bagi Malaysia Healthcare untuk mengenal pasti dan bergabung tenaga dengan syarikat rakan yang berkongsi sistem nilai serta komitmen yang sama, ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan menjunjung tinggi standard keselamatan," katanya.

Mohd Daud berkata MHTC berbangga dapat bersama dengan IASB dan HADID dalam menyediakan pengalaman bertaraf dunia yang selamat, lancar dan dipercayai kepada pelancong penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan