MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

MHTC jalin kolaborasi bersinergi menerusi perbincangan B2B

17/01/2022 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan  -- Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) telah menjalin kolaborasi bersinergi menerusi perbincangan perniagaan ke perniagaan (B2B) antara pemain industri Malaysia dengan wakil dari Timur Tengah di Expo Dubai 2020, sekali gus memperkasa industri pelancongan kesihatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Daud Mohd Arif dalam kenyataan di sini berkata program-program diadakan sepanjang Minggu Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Malaysia pada ekspo tersebut, akan membuka jalan kepada kerjasama dengan pemain industri terkemuka dan meluaskan keberadaan Malaysia, sebagai destinasi penjagaan kesihatan global di Timur Tengah.

“Ini adalah selari dengan matlamat kami untuk memberi pengalaman terbaik pelancongan kesihatan Malaysia menjelang 2025, berdasarkan Rangka Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia 2021-2025,” katanya.

Beliau berkata MHTC turut memanfaatkan keunikan Expo 2020 Dubai dengan menyediakan ruang untuk syarikat baharu melibatkan diri dalam perbincangan B2B, dengan penyedia penjagaan kesihatan, fasilitator, agensi pelancongan serta pemain industri lain dari pelbagai negara.

“Dengan lebih 90 pertemuan B2B yang dianjurkan sepanjang minggu, sangat penting bagi pihak Penjagaan Kesihatan Malaysia mengetengahkan kekuatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan dan sentiasa mengekalkan matlamat sebagai destinasi penjagaan kesihatan global,” katanya.  

Antara hasil perbincangan tersebut adalah penglibatan MHTC dengan Hospital Universiti Fakeeh untuk kemungkinan mewujudkan pusat pakar fertilisasi ‘In Vitro’ (IVF) di hospital tersebut, selain melanjutkan perbincangan melalui sesi pertukaran ilmu.

Selain itu, Pusat Fertilisasi Dubai turut berhasrat untuk bekerjasama dengan MHTC menerusi pertukaran ilmu dalam bidang embriologi.

MHTC juga mengadakan pertemuan dengan wakil Hospital Saudi German di Dubai yang mencari rakan usaha sama dalam kalangan ahli MHTC untuk rawatan berkaitan kesuburan, kardiologi, onkologi dan Hepatitis C, serta peluang untuk inisiatif Pendidikan Perubatan Berterusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan