MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Pavilion Malaysia pamer agrikomoditi berasaskan makanan di Expo 2020 Dubai

11/02/2022 05:12 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

DUBAI, 11 Feb -- Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai mempamerkan agrikomoditi berasaskan makanan yang mampan, iaitu minyak sawit, koko dan lada dengan aktiviti yang memberi impak seperti debat dan ceramah, selain memeterai beberapa kerjasama untuk manfaat tanaman berharga itu.

Kehadiran komoditi Malaysia di ekspo dunia itu yang dianjurkan oleh Dubai telah direalisasikan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai Rakan Kongsi Utama Platinum Pavilion Malaysia di sini.

Bagi industri minyak sawit, konsep agrikomoditi mampan menyediakan platform yang kukuh untuk Malaysia mengembangkan pasaran global untuk komoditi.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lulu International Group memulakan Minggu AgriKomoditi Mampan yang berakhir esok.

Susulan perjanjian tersebut, produk minyak sawit mampan Malaysia yang terdiri daripada produk makanan hingga kosmetik dan farmaseutikal akan dipromosikan dan dipasarkan di Dubai.

Ia turut menyaksikan pelancaran kempen pengguna global MPOC iaitu “Malaysian Palm Oil Full of Goodness” di Lulu Hypermarket di Silicon Oasis di sini untuk mempromosikan dan meningkatkan kesedaran mengenai minyak sawit mampan Malaysia di Expo 2020 Dubai.

Satu lagi MoU turut ditandatangani antara Lembaga Koko Malaysia dan Agrocloud Sdn Bhd untuk membangunkan teknologi pintar untuk penanaman koko.

Debat telah diadakan pada minggu ini untuk mengetengahkan usaha mampan Malaysia, selain ceramah mengenai kulinari dan kedudukan pemakanan, memberikan pengetahuan secara langsung mengenai pelbagai penggunaan dan kegunaan minyak sawit serta manfaatnya.

Paling penting, minggu ini, MPOC, MPOB dan MPOCC memperkukuh usaha mereka untuk memerangi diskriminasi terhadap minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

 

Expo 2020 Dubai jadi batu loncatan untuk kempen pengguna MPOC

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Wan Aishah Wan Hamid berkata majlis itu menyasarkan peringkat global dengan memberi tumpuan kepada mencapai penggunanya untuk melindungi mereka dengan memberikan maklumat yang betul mengenai tanaman tersebut.

Beliau berkata bersama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), MPOC menyasarkan untuk menangani naratif negatif terhadap minyak sawit yang disebarkan oleh EU dan AS.

“Kami sedang menanganinya, antara lain, melalui cara melobi iaitu kami berbincang dengan perunding untuk melobi dengan wakil dari EU dan AS.

“Berhubung tentangan daripada mereka mengenai penebangan hutan, isu buruh atau bahan cemar (3MPCDE), sebenarnya mereka mahu melindungi tanaman mereka seperti minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi, dan mereka telah membelanjakan banyak wang dengan melantik pertubuhan bukan kerajaan untuk menyebarkan kisah negatif mengenai minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Wan Aishah berkata MPOC berharap ia akan menerima lebih banyak pendanaan daripada kerajaan untuk meluaskan capaian penggunanya bagi memerangi diskriminasi itu.

"Kami bergantung kepada pendanaan daripada peserta kepada kerajaan dan disalurkan semula kepada kami memandangkan platform kami untuk menyalurkan maklumat kepada (kumpulan) sasaran agak tiada kerana kami kekurangan dari segi pendanaan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini Malaysia sedang memanfaatkan pempengaruh di AS dan UK.

Menurutnya, Perancis dan Itali sentiasa menyatakan tentangan terhadap minyak sawit Malaysia apabila kajian EU menunjukkan persepsi negatif terhadap minyak sawit di EU yang telah mencapai 70 peratus dan boleh menjejaskan daya saingnya.

Bagaimanapun, beliau berkata susulan usaha yang dilaksanakan MPOC, peratusan itu telah merosot kepada 40 peratus.

“Berada di The Guardian (akhbar UK) adalah di luar jangkauan, justeru, ekspo ini menjadi batu loncatan untuk kami,” katanya yang turut memaklumkan dengan pembukaan semula ekonomi, MPOC akan memperkukuh usahanya untuk menangkis serangan itu.

Seterusnya, MPOC bercadang untuk menggunakan Piala Dunia di Qatar sebagai platform atau kaedah untuk menyebarkan maklumat mengenai tanaman serba guna itu, diikuti penjenamaan dan mesej yang sama di Turki dan Iran melalui slogan dalam bahasa tersebut.

Senada dengan Wan Aishah, Pengerusi PORAM Jamil Haron berkata minyak sawit telah berulang kali menerima serangan.

“Mereka mahu mewujudkan persepsi ini untuk menghentikan kita daripada menjual minyak sawit. Sejak 30 hingga 40 tahun lepas, mereka mengaitkannya dengan isu kesihatan, tetapi kita telah berupaya melibatkan perunding bereputasi baik daripada sebuah institusi untuk menjalankan kajian terperinci mengenai minyak sawit dan hasilnya mendapati minyak sawit adalah sihat dan tidak ada yang salah mengenainya.

“Bagaimanapun, apabila dinyatakan fakta ini, mereka tidak memberikan perhatian dengan alasan, mereka mahu melindungi tanaman mereka sendiri. Cubaan melindungi ladang anda dengan memberi serangan kepada ladang lain adalah tidak wajar. 

“Kini, mereka kembali dengan isu seperti penebangan hutan, bahan cemar. Bagaimanapun, apa sahaja yang mereka lakukan, minyak sawit sentiasa berada di sana memandangkan ia serba guna, sama ada dalam bentuk makanan atau bukan makanan,” katanya.  

 

Menukar minyak sawit kepada alternatif lain menyebabkan lebih banyak penebangan hutan

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata menukar minyak sawit kepada alternatif lain hanya akan menyebabkan lebih banyak penebangan hutan.

Beliau berkata penanaman bunga matahari, misalnya, tidak akan mampan berikutan ia memerlukan lebih banyak keluasan tanah tetapi menghasilkan minyak 10 kali lebih rendah.

“Selain itu, minyak sawit kita mempunyai tokotrienol, yang tidak terdapat dalam minyak lain, dan terdapat kira-kira 80 peratus (tokotrienol) dalam minyak sawit berbanding amat sedikit dalam minyak kelapa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Parveez berkata kerajaan dijangka melancarkan piawaian Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang disemak semula pada Mac 2022.

Piawaian yang disemak semula itu akan merangkumi penambahbaikan mengenai perkara berkaitan amalan baik sosial dan buruh, nilai pemuliharaan yang tinggi (HCV), penilaian impak sosial (SIA) dan jumlah pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Sejak diperkenalkan kali pertama pada 2013, piawaian MSPO telah disemak semula untuk mengurangkan yang kabur dan meningkatkan kredibiliti untuk pengiktirafan antarabangsa.

Setakat 31 Dis, 2021, Malaysia telah mencapai 92 peratus daripada kawasan tanaman kelapa sawit yang diperakui dan 97 peratus kilang minyak sawit yang diperakui.

 

Beralih daripada pasaran tradisional kepada pasaran baharu

Malaysia kini beralih daripada pasaran tradisionalnya dan memberi tumpuan kepada pasaran sedang pesat membangun, bermula dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Asia Pasifik dan Afrika Selatan.

“Aktiviti promosi dan pemasaran kami bersifat maya, justeru, industri kehilangan elemen untuk berada dalam pasaran secara fizikal.

“Sehubungan itu, kami mengambil peluang tersebut berikutan banyak negara kini telah membuka semula ekonominya dan kita kini berada pada tahap yang agak sama sebelum COVID,” kata Pengarah Pemasaran MPOC Faisal Iqbal.

Beliau berkata lebih 10 syarikat menjadi sebahagian daripada delegasi Malaysia di Expo 2020 Dubai dan MPOC telah mengatur beberapa siri pertemuan antara pembekal Malaysia dan pembeli tempatan. 

Katanya sebahagian daripada mereka amat produktif dan terdapat pelan untuk mereka bertemu semula serta meneruskan perbincangan pada acara Gulf Food yang akan datang, antara pameran terbesar yang akan diadakan tidak lama lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan