MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Lapan syarikat Malaysia peroleh pelaburan bernilai RM197 juta di Ekspo 2020 Dubai

21/02/2022 09:36 PM

DUBAI, 21 Feb  -- Lapan syarikat Malaysia hari ini menandatangani pelaburan bernilai lebih US$47 juta (RM197 juta) dengan perusahaan berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semasa Minggu Pertanian Lestari di Ekspo 2020 Dubai dalam usaha memacu pertanian lestari antara kedua-dua negara.

Dilihat sebagai acara kemuncak minggu ini bermula hari ini hingga Jumaat, perkongsian itu akan membantu Malaysia mempromosikan dan mengembangkan potensinya dalam pertanian mampan dengan menjalinkan libat urus dan strategi yang kukuh dengan UAE serta pemain global yang lain.

Menurut agensi pelaksana Minggu Pertanian Lestari, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), sebanyak lima memorandum persefahaman (MoU), dua memorandum perjanjian (MoA) dan satu kontrak jualan ditandatangani hari ini.

Antara syarikat yang menandatangani lima MoU itu ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Centre of Biosaline Agriculture (ICBA); Agarwood Synergy Holdings Sdn Bhd dan Tea & Coffee Museum LLC; MSD Innovation Sdn Bhd dan Sweet Corn General Trading LLC; Tamara Nanoetech (M) Sdn Bhd dan Hydromak; serta Global Agro Asia Sdn Bhd dengan Standard & Origin Pvt Ltd dari Maldives.

Selain itu, dua Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani adalah antara As Syura Trading & Recourses Bhd dan Finefield Trading LLC dari Mesir serta DRS Trading Sdn Bhd dan Ali Ghalomi Vegetables and Fruits LLC.

Kontrak jualan pula telah ditandatangani antara Free the Seed dan Bio4Pack Gmbh dari Jerman.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Mohd Tarid Sufian.

Syarikat Malaysia turut melancarkan dan mempamerkan beberapa produk dan perkhidmatan pertanian yang dicari-cari mereka serta menggunakan platform itu untuk menembusi pasaran serantau menggunakan UAE sebagai gerbang pasaran tersebut.

Minggu Pertanian Lestari ialah salah satu daripada 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan yang dihoskan oleh Pavilion Malaysia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia ialah kementerian peneraju bagi penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan