MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Central Spectrum sertai Minggu Selangor pada Ekspo 2020 Dubai

09/03/2022 09:43 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mac  -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) akan berkongsi mengenai pembangunan tanah perindustrian di Pulau Indah, Selangor pada Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai.

Central Spectrum dalam satu kenyataan berkata sesi perkongsian itu akan berlangsung hari ini.

Ekspo Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Invest Selangor dan diadakan dari 6 hingga 12 Mac, 2022, ia mempamerkan lima kelompok industri untuk pelaburan iaitu elektrik dan elektronik, bioteknologi, pengangkutan dan peralatan (aeroangkasa), jentera dan peralatan serta makanan dan minuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mohamad Razif Abdul Wahab berkata penyertaan syarikat itu dalam Minggu Selangor di Expo 2020 Dubai adalah untuk menarik pelaburan ke Pulau Indah.

"Krisis akibat pandemik COVID-19 telah membawa kepada minat yang berterusan dalam industri logistik melalui permintaan yang kukuh untuk kemudahan gudang dan pengedaran. Pulau Indah dapat memenuhi keperluan bagi industri ini," katanya.

Syarikat itu juga telah mengadakan pertemuan dengan bakal pelabur termasuk pakar rantaian bekalan terkemuka dalam kalangan pengilang daripada industri makanan dan syarikat logistik.

“Dalam sesi perkongsian akan datang, kami akan memberikan penerangan mengenai tanah perindustrian, Taman Perindustrian SBB (SBBIP) dan Taman Perindustrian Pulau Indah (PIIP).

“Pulau Indah sentiasa menjadi lokasi strategik untuk perniagaan logistik dan gudang kerana SBBIP dan PIIP terletak bersebelahan pelabuhan kontena kedua terbesar ASEAN, Pelabuhan Klang serta dua lapangan terbang antarabangsa utama dan kereta api domestik yang canggih,” kata Mohamad Razif .

Beliau berkata syarikat itu yakin Selangor akan dapat menarik pelaburan serantau dan global kerana ekspo itu akan memberikan lebih keterlihatan tentang perkara yang ditawarkan oleh Selangor.

Tujuh belas syarikat dan industri teras Selangor akan mengambil bahagian dalam program Minggu Selangor itu, ia menampilkan sesi perbincangan dan pemadanan perniagaan untuk mempromosikan prospek pelaburan yang disasarkan kepada pasaran Timur Tengah serta negara lain yang mengambil bahagian pada Ekspo Dubai 2020.

Central Spectrum, syarikat yang menjadi ahli Menteri Besar Selangor Inc adalah pemaju yang mantap, memanfaatkan permintaan kukuh untuk hartanah perindustrian, komersial dan pelaburan hartanah.

Portfolio syarikat itu termasuk Taman Perindustrian Pulau Indah, Hab Halal Selangor dan SBBIP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan