MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Kerajaan negeri Melaka raih tujuh MoU bernilai RM5 bilion pada Ekspo 2020 Dubai

15/03/2022 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka hari ini memperoleh tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) pada Ekspo 2020 Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion sebagai rangsangan utama kepada ekonomi negeri.

Dalam satu kenyataan, kerajaan negeri berkata Memorandum Perjanjian (MoA) pertama telah ditandatangani antara MG Velocity Sdn Bhd, penama KAJ Development Sdn Bhd dengan X Infinity Property Sdn Bhd dan Total Group Bhd bagi pembangunan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa (MICT) yang bernilai RM1.5 bilion.

MoA kedua dimeterai antara KAJ dan Assetwall Sdn Bhd bagi pembangunan taman tema moden bertaraf dunia yang menampilkan 24 tarikan menarik di kawasan seluas 14.57 hektar di Pulau Satu (PME1) Melaka Gateway melibatkan pelaburan bernilai RM1.5 bilion.

“MoA ketiga telah dimeterai di antara KAJ dengan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai (Pihak Berkuasa Kerajaan Dubai) dan beroperasi melalui bahagian perniagaan Zon Bebas Lapangan Terbang Dubai.

“Anggaran permulaan, mengunjurkan kemungkinan pelaburan berjumlah RM2 bilion dalam Melaka Gateway,” katanya.

Menurut kerajaan negeri, MoU keempat adalah di antara Melaka ICT Holdings (MICTH) dengan Microsoft Corp Malaysia, manakala MoU kelima membabitkan Canadian University Dubai (CUD) dan Universiti Multimedia (MMU) yang mempunyai kampus besar di Melaka.

Sementara itu, MoU keenam adalah di antara Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka dengan Middle East Consortium Group, Global Travel Services untuk menggalakkan perjalanan dan pelancongan di antara kedua-dua wilayah.

“MoU ketujuh adalah di antara NRB Food Industries dengan 3BUMI Sdn Bhd. MoU berkenaan bertujuan menawarkan peluang perdagangan dan pengedaran produk makanan, secara amnya kepada Majlis Kerjasama Teluk, Afrika Utara dan Timur Tengah,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang sebelum itu melancarkan Minggu Melaka, menyaksikan majlis pemeteraian dan pertukaran tujuh MoU tersebut, termasuk tiga daripada pemaju Melaka Gateway, KAJ Development, berserta Pengerusinya Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan