BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Malaysia capai kesemua sasaran dalam Ekspo 2020 Dubai

29/04/2022 01:16 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Malaysia telah mencapai semua sasaran yang ditetapkan bagi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai dari Oktober 2021 hingga 31 Mac lepas dengan cemerlang, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI adalah kementerian peneraju bagi penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai, manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) adalah agensi pelaksana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan yang dikeluarkan MOSTI hari ini berkata antara sasaran yang ditetapkan kerajaan adalah untuk mencapai antara RM8 bilion dan RM10 bilion potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan penyertaan ke ekspo itu.

Beliau berkata penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai selama enam bulan itu telah berjaya menjana RM70 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mac lepas pada majlis penutup Pavilion Malaysia.

“Pencapaian ini membuktikan ekosistem pengkomersialan hasil R&D (penyelidikan dan pembangunan) negara kekal relevan, dan pembangunan industri R&D tempatan yang mampan serta berdaya saing," kata Dr Adham.

Beliau berkata selain pencapaian dari segi ekonomi, Malaysia juga berjaya mengadakan program bertaraf antarabangsa sepanjang penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

"Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih daripada satu juta orang, selain turut menerima kunjungan 151 delegasi tertinggi dari negara atau organisasi antarabangsa yang menyertai Ekspo 2020 Dubai," katanya.

Dr Adham berkata Pavilion Malaysia juga telah disenaraikan sebagai salah satu antara lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari di Ekspo 2020 Dubai oleh media antarabangsa.

Selain berjaya merangkul Anugerah Emas bagi Tafsiran Tema, Malaysia turut memenangi Honourable Mention bersama-sama Austria dan Belanda bagi kategori Reka Bentuk Mampan Terbaik anjuran Majalah EXHIBITOR World Expo Awards, katanya.

Dr Adham berkata kejayaan Malaysia turut disumbangkan bersama oleh 21 kementerian, 70 agensi kerajaan, lima kerajaan negeri serta 490 syarikat swasta daripada 10 bidang strategik negara yang telah menyertai program mingguan di Pavilion Malaysia.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan