MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Program KASA di Ekspo 2020 Dubai jana potensi petunjuk perdagangan, pelaburan RM16.33 bilion

16/05/2022 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Program perniagaan yang diterajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Ekspo 2020 Dubai memberi peluang kepada industri tempatan mengembangkan jejak hijau mereka di peringkat global dengan menjana potensi petunjuk perdagangan dan pelaburan bernilai RM16.33 bilion (US$3.71 bilion).

Menurut kenyataan pada Isnin, KASA menjelaskan petunjuk perdagangan dan pelaburan telah dijanakan melalui pemeteraian 19 dokumen perkongsian dengan pihak dari pelbagai negara selain 246 pertanyaan perniagaan yang diterima semasa sesi pemadanan perniagaan.

Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Kerjasama dan Surat Niat yang ditandatangani sahaja bernilai RM12.31 bilion (US$2.8 bilion), tambahnya.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata selaras dengan tema program KASA iaitu ‘Pertumbuhan Hijau: Bersedia Untuk Peluang Global’, pihaknya ingin membuka peluang kepada industri tempatan untuk mengakses pasaran global di samping menjalinkan perkongsian dan pelaburan antarabangsa.

“Ini akan membantu pemulihan ekonomi mereka yang terjejas akibat COVID-19 serta mengembangkan ekonomi hijau.

“Terdapat juga kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan Malaysia dengan kerajaan negara luar serta bersama syarikat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang sama.

KASA, bersama-sama agensinya iaitu Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), telah menganjurkan lima program perdagangan dan perniagaan semasa ekspo itu berlangsung untuk mempromosikan penyelesaian mampan berkaitan dengan sektor alam sekitar dan air.

Program tersebut telah disertai 72 syarikat yang diberi peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi global, termasuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut kementerian itu.

Kerjasama dengan UAE melibatkan teknologi perkhidmatan pembetungan dari Malaysia oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK).

Menurut KASA, antara MoU yang ditandatangani adalah kerjasama dengan Netherlands mengenai tebatan banjir, dan dengan Australia berkaitan pemodelan tadbir urus antara negara bagi tanggungjawab pencemaran dalam badan-badan yang bertanggungjawab terhadap sungai dan air.

Syarikat Malaysia yang memeterai kerjasama perniagaan di ekspo itu semasa minggu KASA termasuk Intelligent Aqua Sdn Bhd, Potaglas Malaysia Sdn Bhd, Pipeco Tanks Sdn Bhd dan PTS Tech Solution Sdn Bhd yang melibatkan program kerjasama antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta MoU.

Tuan Ibrahim berkata semua program di ekspo tu merupakan sebahagian daripada inisiatif KASA untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam agenda perubahan iklim negara.

“Kerjasama industri dan antarabangsa juga penting dalam matlamat negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih seawal tahun 2050 termasuk melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan