MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

P. Pinang terokai pasaran wilayah Timur Tengah

01/06/2022 10:45 PM

GEORGE TOWN, 1 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sedang menerokai pasaran baharu di wilayah Timur Tengah dalam usaha untuk menghidupkan sektor pelancongan negeri pasca pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri kini sedang menerokai pasaran baharu seperti Dubai dengan giatnya untuk menjadikan Dubai sebagai hab kesambungan antara Pulau Pinang dan wilayah Timur Tengah.

"Usaha ini adalah selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menerokai pasaran pelancongan negara barat untuk menarik pelancong dari rantau Eropah, Amerika Syarikat dan wilayah Timur Tengah.

"Ini adalah kerana pelancong tersebut mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi ‘higher spending power’ serta tempoh percutian yang lebih lama," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Yeoh berkata usaha ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan. 

Katanya, kerajaan negeri juga telah menghasilkan risalah ‘Muslim Travel Guides’ dalam bahasa Arab dan telah mengedarkan di Wilayah Timur Tengah melalui penggiat industri tempatan.

Setelah banyak kali perbincangan antara kerajaan negeri dan pihak syarikat penerbangan, Yeoh yakin, Pulau Pinang berkemungkinan besar akan menyambut penerbangan terus dari negara Wilayah Timur Tengah menjelang hujung tahun ini.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan