BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Syarikat Malaysia raih manfaat daripada penyertaan di Ekspo 2020 Dubai

22/06/2022 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Syarikat Malaysia, antaranya Marrybrown dan Julie’s telah meraih manfaat daripada penyertaan di Ekspo 2020 Dubai, sambil menyatakan ekspo terbesar dunia itu sebagai platform penting untuk menerangkan dan mempromosi jenama dan produk negara kepada komuniti perniagaan antarabangsa.

Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) selaku agensi pelaksana bagi penyertaan Malaysia di ekspo itu berkata, syarikat-syarikat tersebut memuji penganjur ekspo dan menyifatkannya sebagai “peluang sekali dalam seumur hidup” yang akan membantu meluaskan lingkungannya, terutamanya ketika dunia perlahan-lahan pulih daripada impak pandemik global COVID-19.

MGTC dalam kenyataan berkata, rakan kongsi bagi Pavilion Malaysia itu menghargai peluang untuk mewakli jenama Malaysia dan mempromosi inovasi dan kreativitinya ke pasaran global.

Marrybrown berkata, menjadi pengendali kafe di Pavilion Malaysia memberikan peluang kepada rantaian restoran makanan segera itu untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional Malaysia.

“Kami berbesar hati menunjukkan masakan Malaysia dan hidangan tempatan kepada lebih 200 negara dan jutaan pelawat dalam satu platform,” menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Joshua Liew.

Sementara itu, Julie’s, jenama biskut tempatan di Malaysia merangkap rakan kongsi industri Pavilion Malaysia berkata, kerjasama strategik dengan Pavilion Malaysia telah membuka peluang baharu kepada Julie’s Biscuits di arena global.

“Timur Tengah merupakan pasaran yang penting bagi kami, dan kejayaan ini meningkatkan lagi kehadiran kami di rantau ini, sejajar dengan konsep masa depan yang mampan,” menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Julie’s Biscuits, Martin Ang.

Sementara itu, Durioo, syarikat pemula niaga Digital Durian, memperkenalkan Platform Penstriman  Durioo+ pada Ekspo 2020 Dubai.

“Ekspo dunia tersebut telah membolehkan kami untuk mendapat akses ke pasaran global, dan dengan sokongan daripada Pavilion Malaysia, kami melaksanakan permulaan yang baik,” menurut Ketua Perniagaannya Ahmad Azizi Ramdan.

Syarikat itu turut berhasrat untuk menjadi platform pilihan dalam kalangan kanak-kanak Islam di seluruh dunia, menyediakan pasaran kepada 430 juta golongan Muslim. Ia turut menerbitkan siri animasi terkenal Didi & Friends dan Omar & Hana.

MGTC berkata, sepanjang ekspo selama enam bulan yang berakhir 31 Mac tahun ini, Pavilion Malaysia meraih lebih RM70 bilion potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan. 

Pavilion Malaysia menganjurkan program perdagangan dan perniagaan bertema secara mingguan yang disertai kira-kira 400 syarikat termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana, penggiat utama dan syarikat pemula niaga melibatkan lebih 10 industri menegak termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, industri halal dan pelancongan.

-- BERNAMA 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan