MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Kerajaan komited pastikan dasar digubal utamakan keperluan pelihara biodiversiti negara

14/09/2022 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan terus komited dalam memastikan dasar yang  digubal mengutamakan keperluan untuk memelihara kekayaan biodiversiti negara. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga komited memastikan kepesatan pembangunan negara adalah mesra alam bagi manfaat generasi akan datang.

Mengambil contoh impak penyertaan di Ekspo 2020 Dubai, Ismail Sabri berkata ia akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan menerusi kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuklah rumah pintar hijau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga bersih dan banyak lagi penyelesaian masa depan.

“Dedikasi yang tinggi dan kerjasama erat melalui pendekatan ‘Whole-of-Government’ telah menjadikan Pavilion Malaysia satu platform yang berkesan bagi perkongsian idea serta berjaya mengetengahkan potensi negara untuk menerajui agenda kelestarian global.

Pavilion Malaysia menjadi lambang kejayaan Keluarga Malaysia apabila nilainya diterjemahkan kepada pelan tindakan yang kukuh serta sikap bersatu padu dalam mencapai keharmonian, kemajuan, kemampanan dan kestabilan,” katanya pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sini malam ini. 

Perdana Menteri berkata pembangunan yang inklusif dan mampan juga merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan Malaysia, dengan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau dan mitigasi perubahan iklim menjadi antara pemacu pemerkasaan ekonomi.

Justeru pavilion “Kanopi Hutan Hujan” di Ekspo 2020 Dubai, yang diilhamkan bersumberkan hutan tropika Malaysia seperti Taman Negara Endau-Rompin melambangkan hubungan sinergi antara kemajuan ekonomi, sosial dan alam sekitar di Malaysia.

Katanya menerusi pameran dan pengisian Pavilion Malaysia, para pengunjung telah didedahkan tentang pentingnya manusia melindungi alam sekitar dan perlunya kehidupan dijalani dengan cara yang sihat.

“Pavilion Malaysia menunjukkan kepada dunia bagaimana penggunaan sains, teknologi dan inovasi diterapkan dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan hijau seperti menggabungkan ciri-ciri hijau seperti tadahan air hujan, teknologi solar dan bahan binaan terpakai dengan karbon rendah dan boleh dikitar semula.

Kesemua ini membuktikan manusia boleh hidup secara harmoni dengan mengekalkan alam semula jadi dan menimbulkan kesedaran global tentang dunia dan tanggungjawab bersama kita dalam mentadbirkannya,” katanya.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia telah menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau serta menjana potensi perdagangan dan pelaburan keseluruhannya berjumlah RM77.25 bilion.

Justeru beliau mengucapkan syabas kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian peneraju dan    Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC)  selaku agensi pelaksana.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu sehingga 31 Mac lepas.

Ismail Sabri juga mahu semangat Keluarga Malaysia yang diperkasakan di Ekspo 2020 Dubai terus disemarakkan bagi penyertaan negara di Ekspo 2025 Osaka, Jepun dan percaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang akan menerajui penyertaan itu mampu mengangkat negara mencapai satu lagi kejayaan yang membanggakan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan