MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

BAMTC: BAM sasar mara ke separuh akhir

01/02/2023 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk skuad negara sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 14 hingga 19 Feb ini.

Bukan sahaja sasaran ke separuh akhir, malah Pengarah Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones juga berharap untuk melihat skuad negara mengungguli Kumpulan B yang turut dianggotai India, Kazakhstan dan tuan rumah, UAE.

Walaupun India mungkin dilihat sebagai ‘duri dalam daging’ di peringkat kumpulan, Jones percaya pemain negara memiliki apa yang diperlukan bagi mengatasi lawan terkuat mereka dalam kejohanan yang diadakan di Pusat Pameran Dubai itu.

“Kita perlu membuat lebih banyak analisis terhadap pasangan India dan pemain berkenaan kami cukup kenal. Kita juga mempunyai rekod yang baik dalam menentang beberapa pemain India ini, jadi kita tetap yakin.

“Sudah tentu kita akan cuba mengungguli di peringkat kumpulan bagi undian mudah di separuh akhir, jadi kita perlu menang dalam setiap perlawanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara nama besar yang akan mewakili Malaysia ke BAMTC ialah pemain profesional perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, diikuti juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan bekas pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan Olimpik Remaja, Goh Jin Wei.

Sementara itu, Jones berkata mereka akan cuba membantu Zii Jia membina keyakinan semasa kem latihan pusat yang bermula minggu depan agar pemain itu dapat memberi yang terbaik dalam BAMTC, ekoran prestasi buruk yang menyaksikan beliau gagal melepasi peringkat awal dalam Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia.

Dalam pada itu, bekas Ahli Fisiologi Kanan Institut Sukan Negara (ISN) itu percaya seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akan menampilkan persembahan terbaiknya di Dubai selepas tersingkir awal di pusingan kelayakan Masters Thailand semalam, iaitu tewas 22-44, 19-21 kepada rakan senegara Yeoh Seong Zoe.

“Keputusan semalam sesuatu yang malang buat Jun Hao tetapi saya fikir prestasi buruk itu boleh menjadi pendorong untuk beliau beraksi lebih baik selepas ini.

“Jika anda lihat Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah sebagai contoh, mereka tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan dalam Terbuka Malaysia, tetapi kemudian mereka berjaya bangkit semula. Saya rasa Jun Hao boleh meningkatkan keupayaanya sehingga ke tahap terbaik,” katanya.

Sementara itu, Jones berkata tempoh seminggu adalah memadai bagi pemain membina keserasian dalam latihan pusat kerana kesemua pemain profesional yang dipanggil untuk beraksi di BAMTC adalah sebahagian pemain BAM sebelum ini.

Malaysia belum pernah memenangi kejohanan berkenaan setakat ini, selepas tewas di suku akhir pada edisi pertama 2017 di Hanoi, Vietnam dan sekali lagi di peringkat yang sama pada edisi 2019 di Hong Kong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan