COVID-19

Terima vaksin ketika berpuasa tak jejas kecergasan - Penerima

16/04/2021 06:58 PM

PUTRAJAYA, 16 April -- Bagi Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ASP Mohd Dzaiful Azrin Yahya, suntikan vaksin COVID-19 yang diterimanya ketika sedang berpuasa langsung tidak menjejaskan tahap kecergasannya.

Mohd Dzaiful yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech semalam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seroja di Presint 15 di sini, berkata beliau berasa seperti biasa dan tidak mengalami sebarang kesakitan pada mana-mana anggota badan selepas menerima suntikan itu.

"Saya datang ambil vaksin ini pun dengan rela hati dan tanpa perasaan waswas. Lagipun kerajaan juga dah merujuk kepada mufti bahawa mendapatkan suntikan vaksin ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa seseorang," katanya kepada Bernama.

Sarjan Anuar Musa daripada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Putrajaya berkata beliau tidak mengalami kesan sampingan seperti pening, muntah atau sakit selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 walaupun berpuasa.

"Saya juga yakin yang suntikan ini tidak membatalkan puasa saya dan tiada paksaan pun untuk ambil vaksin ini," kata anggota polis berusia 55 tahun itu yang menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menerima dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, berkongsi pengalamannya dalam hantaran Facebook beliau dengan menyifatkan  suntikan itu seumpama digigit semut dan tidak menyakitkan.

"Apalah sangat rasa sakit sedikit kalau nak bandingkan dengan kesihatan diri," katanya yang turut menyeru orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi melindungi diri daripada COVID-19.

Penyelia di PPV Dewan Seroja itu Dr Syazwin Abdul berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pembatalan janji temu daripada individu berpuasa yang dijadualkan menerima suntikan tersebut.

"Semua yang dijadualkan untuk menerima vaksin di PPV ini hadir seperti yang dijadualkan. Tetapi ada juga calon penerima vaksin yang kita tolak atas beberapa sebab antaranya baru pulih daripada COVID-19 kurang tiga bulan.

"Di sini kita juga akan menapis sejarah kesihatan calon penerima vaksin seperti penyakit yang sedang dihidapi, ibu menyusu dan ibu mengandung," katanya.

Pada 23 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri dilaporkan berkata suntikan vaksin COVID-19 tidak membatalkan puasa dan ini selari dengan pandangan ulama sedunia.

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada 13 April lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan