COVID-19

Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk apabila dijangkiti COVID

17/04/2021 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 April -- Semua petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 selepas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, mengalami gejala yang tidak teruk, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Memang jelas kita masih boleh dijangkiti selepas lengkapkan vaksinasi, namun jangkitan itu tidaklah teruk sangat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini. 

Katanya walaupun vaksin membawa sedikit harapan dalam perjuangan melawan penyakit tersebut, orang ramai perlu ingat bahawa itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan langkah-langkah kesihatan awam selepas vaksinasi mereka lengkap.

Dr Noor Hisham menegaskan tidak ada sesiapapun yang terjamin selamat sehingga semua orang selamat dan meminta orang ramai agar terus mematuhi semua langkah pencegahan.

Menurut beliau, 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti setelah lebih dua minggu menerima dos kedua sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas inokulasi.

Dr Noor Hisham berkata seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti selepas menerima dos pertama, manakala 244 orang pula dijangkiti sebelum menerima vaksin berkenaan. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan