Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
25/10/2019 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt  -- Timbalan pendakwa raya (TPR) dalam kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Suhaimi Ibrahim, hari ini diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Suhaimi, 61, yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Malaya telah diterima masuk dan didaftar pada majlis penerimaan masuk sebagai peguambela dan peguamcara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram yang merupakan ketua pendakwaan dalam kes SRC International, memperkenalkan Suhaimi dengan membacakan latar belakangnya sebagai pempetisyen.

Sithambaram dalam ucapannya berkata Suhaimi, anak sulung daripada lapan adik beradik, yang akan bersara daripada perkhidmatan awam hujung tahun ini, mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi Mara.

“Bagaimanapun, selepas menamatkan pengajian diplomanya, Suhaimi tidak terus mendaftarkan diri untuk pengajian undang-undang kerana beliau terus mencari pekerjaan bagi meringankan beban kewangan ibu bapanya dan mahu melihat adik-adiknya meneruskan pelajaran.

“Beliau menyertai perkhidmatan awam dan dilantik sebagai Pegawai Pendakwa Pengangkutan Jalan, yang telah mengembangkan minatnya dalam undang-undang. 

“Beliau dilantik sebagai pegawai undang-undang dan kehakiman pada 1989 selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah,” katanya menambah pempetisyen telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti sebagai majistret, penolong kanan pendaftar dan timbalan pendakwa raya.

Sithambaram berkata Suhaimi, semasa menjadi TPR telah bertugas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pelbagai unit pendakwaan di seluruh negara seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Suhaimi, ketika ditemui selepas majlis itu kelihatan gembira dan menzahirkan kesyukuran kerana dapat meneruskan profesionnya dalam bidang perundangan dan memberitahu beliau mempunyai masa sehingga Disember ini untuk menyelesaikan perbicaraan kes SRC International.

Kes SRC merupakan kes berprofil tinggi membabitkan bekas Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan menyalahgunakan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta.

 

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan