Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
11/11/2019 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut diperintah untuk membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu menjangkakan beliau dibebaskan bagi semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

“Najib menjangkakan pembebasan bagi semua pertuduhan kerana kami telah mematahkan pertuduhan (semasa penghujahan) malah semasa kes pendakwaan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Muhammad Shafee mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengarahkan Najib, 66, membela diri atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana itu.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 hingga 12 Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata pasukan pembelaan mengharapkan pembebasan di peringkat ini kerana mereka yakin telah mengemukakan hujahan yang baik di mahkamah berdasarkan fakta dan undang-undang.

Bagaimanapun beliau berkata perbicaraan tidak boleh dijangka memandangkan pandangan (pembelaan) dan pandangan orang lain adalah berbeza.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata perbicaraan di peringkat pembelaan dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar cerita sebenar daripada Najib kerana bekas perdana menteri itu mempunyai versi apa yang berlaku dalam SRC.

“Setakat apa yang dia (Najib) tahu dan apakah perkara yang boleh beliau pertikaikan berhubung sama ada beliau mengawal SRC, yang kami katakan dia tidak pernah mengawal SRC sebagai menteri kewangan. Najib akan memberi keterangan apakah yang sebenarnya berlaku di Kementerian Kewangan,” katanya.

Peguam itu juga berkata beberapa saksi profesional yang beliau enggan namakan, dijangka dipanggil memberi keterangan semasa peringkat pembelaan itu.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan