Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
12/11/2019 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pengaruh yang besar di samping kuasa penuh dalam SRC International Sdn Bhd, dan pihak pendakwaan berjaya dalam membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur pecah amanah (CBT) oleh Najib melibatkan dana syarikat itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata Najib bukan sahaja pihak yang sebagai Menteri Kewangan yang juga MOF Inc, yakni pemegang saham tunggal SRC serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi juga adalah Perdana Menteri ketika itu, yang diberikan kuasa di bawah artikel SRC bagi melantik dan memecat pengarah-pengarah syarikat berkenaan, di samping menjadi pihak di mana beberapa perkara berhubung syarikat itu perlu dirujuk kepadanya terlebih dahulu dalam apa-apa hal, termasuk soal pindaan.

”Sebagai Perdana Menteri dan MOF Inc, tertuduh juga membawa kepada pengenalan satu artikel baharu 117 bagi melantik dirinya sendiri sebagai penasihat emeritus syarikat itu, di mana nasihatnya berhubung perkara-perkara strategik mengenai SRC perlu dirujuk terlebih dahulu.

Hakim berkata perkara yang perlu diambil perhatian adalah keputusan-keputusan berkenaan diambil kerana pendirian pengarah-pengarah yang mentakrifkan resolusi-resolusi daripada pemegang saham, yang juga Perdana Menteri, dan kemudiannya penasihat emeritus syarikat, adalah sebagai satu bentuk arahan, ataupun sebagai perkara yang perlu mereka patuhi.

"Tertuduh dilantik sebagai penasihat emeritus hanya kerana beliau sendiri memberi kebenaran sebagai mewakili MOF Inc sebagai pemegang saham SRC bagi syarikat itu untuk meminda artikelnya, bagi memasukkan peruntukan dalam artikel baharu 117, berhubung pengwujudan kedudukan penasihat emeritus dengan kuasa-kuasa yang terkandung di dalamnya,” katanya.

 Hakim berkata mahkamah juga mendapati bahawa tertuduh diberi kepercayaan dengan kuasa penuh terhadap harta benda SRC.

Beliau juga berkata sebagai menteri kewangan, tertuduh sebagai MOF Inc adalah pemegang saham tunggal SRC.

"Pelbagai resolusi pemegang saham MOF Inc dipatuhi dan menjadi asas kepada banyak resolusi-resolusi pengarah SRC.

"Sebagai Perdana Menteri, tertuduh dinamakan dalam artikel syarikat sebagai satu-satunya individu yang diberi kuasa bagi melantik atau memecat mana-mana anggota lembaga pengarah SRC,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata tertuduh menetapkan halatuju SRC bermula sejak ia ditubuhkan, berdasarkan peranannya sebagaimana yang ditetapkan artikel.

Beliau berkata lain-lain peranan Najib sebagai pengarah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 402A Kanun Keseksaan dan sebagai penasihat emeritus, semuanya menjadikan beliau sebagai ‘ejen’ di bawah akta itu.

"Saya menerima keterangan oleh PW39 (Tan Sri Ismee Ismail yang juga anggota lembaga pengarah SRC ketika itu) dan PW42 (bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin), termasuk pernyataan mereka bahawa sebagai pengarah syarikat itu, mereka sedar tanggungjawab fidusiari dan statutori dan telah bertindak demi kepentingan syarikat.

"Saya tidak mendapati perkara ini menafikan hakikat bahawa arahan telah dibuat oleh tertuduh kepada pengarah SRC. Walaupun begitu PW39 memberi keterangan dia tidak mentakrifkan arahan-arahan tertuduh, sebagai bertentangan dengan tugas-tugas fidusiarinya sebagai pengarah, dan unsur-unsur pelbagai arahan sebenarnya diikuti oleh para pengarah SRC," katanya.

Beliau berkata kenyataan bahawa tertuduh berurusan dengan perkara-perkara yang sah di sisi undang-undang dalam bidang kuasa pengarah dan bukannya pemegang saham adalah satu hal, tapi dengan pematuhan oleh para pengarah, ia bukan satu perkara yang tidak dijangka kerana keputusan pemegang saham dibekalkan oleh perdana menteri dan juga menteri kewangan negara, kepada pengerusi sebuah entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc, yakni SRC.

Berhubung tiga pertuduhan penggubahan wang, Hakim Mohd Nazlan menetapkan bahawa perolehan RM42 juta dalam akaun tertuduh adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, sebagaimana yang dibuktikan dalam pertuduhan pecah amanah.

"Dalam penilaian saya, bukti menunjukkan bahawa berkenaan dengan tiga pertuduhan pecah amanah; penyelewengan berlaku pada ketika dana RM42 juta, atau sebarang sebahagian besarnya, dipindahkan dari SRC, seperti apabila RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun bank Gandingan Mentari Sdn Bhd. (Ini bermakna) malah sebelum tertuduh menerima dana dalam akaunnya, kesalahan pecah amanah sudah berlaku,” katanya.

"Saya mendapati tertuduh tahu bahawa RM42 juta adalah hasil satu perbuatan menyalahi undang-undang atau dalam pembelaan terbaik, tertuduh gagal tanpa alasan munasabah untuk mengambil langkah-langkah yang patut bagi menyimpulkan sama ada benar atau tidak RM42 juta itu adalah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Hakim itu berkata: “Tidak ada bukti menunjukkan pertanyaan dibuat oleh tertuduh atau sebarang laporan polis atau aduan kepada bank, walaupun telah diberitahu oleh pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling mengenai pemindahan wang itu.

"Bukti daripada peguam Ranjit Singh juga dengan jelas menunjukkan bahawa tertuduh tahu bahawa RM42 juta itu berasal dari SRC. Apabila RM42 juta itu akhirnya mengalir ke dalam akaun tertuduh, ia sudah boleh ditakrifkan sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata oleh itu, semua unsur-unsur kesalahan penggubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta berkenaan dalam tiga pertuduhan telah dibuktikan.

Dalam menyimpulkan penghakimannya, Hakim Mohd Nazlan berkata pihak pendakwaan berjaya mengumpulkan bukti-bukti yang boleh dipercayai dan setiap unsur kesalahan salah guna kedudukan atau  rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram, sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan, yang berkaitan sebarang perkara yang jika tidak dibantah atau tidak dijelaskan, akan membawa kepada sabitan.

"Oleh itu, kes prima facie telah dibuat terhadap tertuduh berkenaan dengan satu tuduhan penggunaan kedudukan untuk suapan, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dalam pengertian Seksyen 180 Kanun Acara Jenayah.

"Oleh itu, kini saya memanggil tertuduh untuk membuat pembelaan berhubung semua tujuh pertuduhan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata tertuduh mempunyai tiga pilihan yakni - memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Najib memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan tarikh perbicaraan berikutnya sebagaimana yang dijadualkan - pada 3 Dis hingga 4 Dis, 9 Dis hingga 12 Dis, dan 16 Dis sehingga 19 Dis.

Peguam Najib memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan menfail permohonan bagi mendapatkan senarai saksi yang ditad ditawarkan oleh pihak pendakwaan, tapi yang merekodkan keterangan mereka.

“Kami juga akan memohon bagi mendapatkan keterangan semua saksi kes yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau polis,” katanya dan menambah mereka mahukan dokumen-dokumen itu dibekalkan sebelum perbicaraan bersambung pada 3 Disember.

Datuk V. Sithambaram daripada pasukan pendakwaan berkata pihaknya akan membuat bantahan untuk membekalkan senarai saksi itu, bagaimanapun beliau berkata mereka akan memberikan respons sewajarnya terhadap permohonan oleh pihak pembelaan.

Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan itu.

Hakim Mohd Nazlan turut membenarkan Najib dikecualikan daripada menghadiri pendengaran Jumaat ini memandangkan kehadiran beliau diperlukan di Johor, untuk pilihan raya kecil Tanjung Piai.

-- BERNAMA

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan