Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
10/12/2019 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis  -- Pihak pendakwaan, dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menegaskan syarikat itu tidak menyediakan dokumentasi kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berhubung permohonan pinjamannya.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata, KWAP, sebagai pemberi pinjaman, telah berulang kali meminta dokumen daripada SRC International.

Beliau berkata pada kebiasaannya dalam permohonan pinjaman, peminjam akan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan tetapi ini tidak berlaku dalam kes SRC International.

Beliau kemudian membacakan keterangan seorang saksi bahawa KWAP telah meminta ketua pegawai eksekutif SRC International, ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil untuk mengurus dokumen-dokumen tersebut.

Menurut keterangan saksi itu, katanya, Nik Faisal menjawab pada 1 Julai, 2011 bahawa: “Kami tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut yang diminta kerana ia tertakluk kepada kelulusan Penasihat Emeritus SRC (Najib).”

Disoal oleh Thomas sama ada dia( Najib) telah menghalang Nik Faisal daripada berkongsi maklumat dengan KWAP, Najib menjawab: “Kalau dia rujuk kepada saya, saya akan minta dia untuk beri segala maklumat kepada KWAP.  Kita sebagai borrower (peminjam) kena bagi apa yang pihak pemberi pinjaman minta.”

Pada 11 Nov lalu, Najib  diarah membela diri atas semua tujuh pertuduhan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalah guna kedudukan melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International.

Pendengaran kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan