Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
18/12/2019 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis   -- Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini membela diri atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mempersoalkan kegagalan bekas perdana menteri itu membuat laporan polis berhubung dakwaan tandatangannya telah dipalsukan dalam beberapa dokumen berkaitan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata dakwaan daripada Najib itu merupakan suatu yang difikirkan kemudian memandangkan ia hanya dibangkitkan semasa peringkat membela diri. 

 Bagaimanapun, Najib, semasa disoal balas Sithambaram menafikan perkara itu suatu yang difikirkan kemudian memandangkan perkataan 'pemalsuan' hanya didengar dalam perbicaraan semasa peringkat pembelaannya sahaja. 

Sithambaram: Kamu bersetuju dengan saya bahawa apabila tandatangan kamu dipalsukan pada mana-mana dokumen, kamu akan membuat laporan polis. 

Najib: Saya baru tahu bahawa kemungkinan tandatangan saya dipalsukan semasa perbicaraan kes ini berlangsung.

Sithambaram: Itu bukan soalan saya. Adakah kamu akan membuat laporan polis? 

Najib: Sebab itu kita memanggil pakar dulu untuk 'memeriksa' tandatangan, bila sudah dapat baru buat laporan polis. 

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa permohonan beliau untuk memanggil pakar dokumen adalah untuk 'memperkukuh perkara yang tidak benar' mengenai pemalsuan.

Sithambaram juga menganggapnya sebagai suatu yang pelik apabila Najib tidak boleh membezakan tandatangannya sendiri dengan yang palsu dan beliau memerlukan seorang pakar untuk mengesahkannya.

 Najib berkata beliau meragui tentang tandatangan itu semasa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak memaklumkan keraguannya itu kepada orang lain malah tidak menyebutnya kepada individu yang mengambil kenyataannya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu sejumlah RM32 juta telah dipindahkan ke akaun peribadinya kerana beliau menyerahkan urusan kepada pihak ketiga untuk mengendalikan akaunnya.   

Sithambaram kemudian menyoal bekas perdana menteri itu sama ada beliau terlibat dalam operasi syarikat seperti pemindahan RM40 juta daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, syarikat yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), yang dinafikan Najib.

Menurut Najib, pada waktu itu, beliau tidak mempertikai aliran keluar ke Ihsan Perdana kerana beliau tidak mengetahui mengenai transaksi dan ia terpulang kepada pasukan pengurusan SRC.

Semasa disoal Sithambaram mengenai kedudukannya sebagai penasihat emeritus dalam SRC tentang pengetahuannya berhubung transaksi RM40 juta, Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam urusan operasi kerana beliau menjaga negara.

Mengenai isu lain, Najib berkata Ahli Lembaga Pengarah (BOD) SRC tidak pernah berunding dengannya mengenai perbelanjaan pinjaman RM2 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) walaupun beliau memegang jawatan tertinggi dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) merupakan pemegang saham tunggal syarikat.

“Perkara berkenaan dianggap sebagai perkara operasi dan di bawah BOD. Kedudukan saya dalam SRC adalah untuk menentukan perkara strategik. Bukan oprasi harian,” katanya.

Apabila beliau dirujuk kepada surat dihantar kepada AmIslamic Bank, yang tertera nama dan tandatangan Najib, Najib menjawab: "kelihatan seperti tandatangan saya, ya,"

Jawapan beliau disifatkan TPR hampir sama dengan ungkapan dalam klip video kontroversi  'kelihatan seperti saya, suara seperti saya, tetapi bukan saya' yang menyebabkan mereka yang berada dalam mahkamah ketawa.

Pada 11 Nov lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan