Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
19/12/2019 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Bekas Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau ‘rasa’ wang dalam akaun banknya cukup apabila terus mengeluarkan cek walaupun tanpa mengetahui jumlah baki di dalamnya.

Najib, 66,  berkata beliau akan meminta bekas ketua setiausaha peribadinya, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk memeriksa dengan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil berhubung baki dalam akaunnya.

   “Nik Faisal dan Azlin tidak beritahu saya jumlah baki yang tinggal dalam akaun dan saya tidak pernah berhubung secara terus dengan Nik Faisal walaupun beliau pemegang yang dimandatkan bagi akaun saya,” katanya semasa diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram.

  Sebagai respons kepada jawapan itu,  Sithambaram berkata tiada siapa mengeluarkan cek tanpa mengetahui jumlah baki dalam akaun, lagipun ia dilakukan oleh Najib yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Kepada soalan lain Sithambaram, Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi mengulangi bahawa beliau percaya wang dalam akaun banknya yang berakhir dengan nombor 880, 898 dan 906 adalah hasil sumbangan daripada kerabat diraja Arab.

“Ia tidak berada dalam pengetahuan saya dan saya tidak pernah persoalkan dana yang dibayar ke dalam akaun-akaun saya sehingga ia menjadi isu,” katanya.

Najib juga bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa beliau menulis cek membabitkan jutaan ringgit, antara lain untuk kegunaan politik.

Sithambaram turut bertanya kepada Najib berhubung apa yang didakwanya sebagai jawapan berbeza  diberikannya berhubung sama ada beliau menurunkan tandatangan pada minit mesyuarat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi membenarkan pindaan dibuat ke atas memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB). 

Sithambaram berkata pindaan itu untuk memasukkan Perkara 117, yang memberikan banyak kuasa kepada Najib sebagai perdana menteri pada ketika itu berhubung keputusan dibuat lembaga 1MDB.

Sithambaram: Dalam kenyataan saksi yang anda tulis, anda kata yang anda tidak pasti sama ada anda menandatangani pindaan ke atas M&A 1MDB kerana ada sesuatu yang ganjil dalam dokumen korporat tetapi semasa diperiksa balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, anda sahkan ia tandatangan anda.

Najib: Ya, tetapi ini tertakluk kepada melihat dokumen asal.

Sementara itu,  Sithambaram juga membuat rujukan secara sinis apabila beliau berkata, Najib seorang yang amat berhati-hati apabila beliau mengeluarkan kenyataan media berhubung coklat yang hilang semasa serbuan polis di kediamannya tetapi tidak memberikan tumpuan terhadap kewangan peribadi dan dana kerajaan.

Najib, bagaimanapun menjawab, aduan (mengenai coklat) dibuat anak perempuannya.

Sithambaram: Jadi anda perlu keluarkan kenyataan media ... ia bukan coklat anda pun?

Najib: Bukan saya punya.

Sithambaram: Saya dapati sukar untuk terima bahawa  (bekas) perdana menteri dan menteri kewangan tidak tahu mengenai akaun kewangannya.

Najib: Anda boleh tanya setiausaha peribadi saya, yang menguruskan akaun peribadi saya.

Pada akhir prosiding tengah hari,  Sithambaram memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang beliau berasa pening dan loya, dan mencadangkan prosiding hari ini ditangguhkan lebih awal.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah permohonan itu.

Semua pihak dalam mahkamah ketawa apabila Hakim Mohd Nazlan secara berseloroh bertanya sama ada Sithambaram tidak sihat disebabkan sering dicelah oleh seorang lagi peguam yang mewakili Najib, Harvinderjit Singh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan perbicaraan disambung pada 6 Jan tahun depan, dan turut mengingatkan bekas perdana menteri bahawa beliau masih berada dalam kedudukan bersumpah dan tidak boleh membincangkan kes itu dengan mana-mana orang yang tidak berkaitan.

Pada 11 Nov,  Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berhubung dana SRC.

-- BERNAMA  

 

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan