Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
05/05/2020 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dalam kes perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd telah menyerahkan hujahan bertulis hampir seratus muka surat kepada Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menyediakan 643 muka surat hujahan bertulis manakala pendakwaan mengemukakan 306 muka surat. 

"Kedua-dua hujahan telah diserahkan kepada mahkamah hari ini. Kami turut bertukar-tukar hujahan menerusi e-mel. 19 Mei telah ditetapkan untuk kedua-dua pihak menjawab hujahan bertulis itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Hujahan lisan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah ditetapkan selama tiga hari bermula 1 Jun.

Pada 11 Mac, pembelaan telah menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi di peringkat bela diri yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Dis tahun lepas.

Pendakwaan sebelum itu telah memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 11 Nov tahun lepas, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan telah diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan