Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
20/05/2020 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei  --  Pendakwaan mahupun pembelaan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd masing-masing telah mengemukakan jawapan kepada hujahan bertulis setebal hampir 1,000 muka surat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan telah mengemukakan jawapan setebal 336 muka surat kepada hujahan bertulis pembelaan manakala pembelaan mengemukakan jawapan seteball 446 muka surat kepada hujahan bertulis pendakwaan.

"Kedua-dua pihak sepatutnya memfailkan hujahan balas masing-masing kepada mahkamah semalam. Bagaimanapun, pendakwaan memohon tambahan dua hari untuk menjawab kerana hujahan bertulis pembelaan terlalu tebal.

"Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan lanjutan masa selama dua hari. Bagaimanapun, kami telah memfailkan hujahan balas kami pada awal hari ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei, pembelaan telah mengemukakan hujahan bertulis setebal 643 muka surat manakala pendakwaan setebal 306 muka surat kepada Mahkamah Tinggi dan kedua-dua pihak perlu menjawab hujah masing-masing.

Pendengaran bagi hujahan lisan telah ditetapkan selama tiga hari mulai 1 Jun.

Pada 11 Mac, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi yang memberi keterangan selama 33 hari sejak 3 Dis tahun lepas.

Sebelum itu, pendakwaan memanggil 57 saksi.

Pada 11 Nov tahun lepas, Najib diarah membela diri atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana itu.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan