Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
02/06/2020 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun -- Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula hari ini telah dilapangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah telah menghantar notis kepada pihak-pihak yang terlibat pada 13 Mei lepas bagi memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan yang telah dilapangkan.

"Ini berikutan mahkamah memberi keutamaan untuk kes lain melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang dalam perbicaraan antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit," katanya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk pengurusan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 13 hari bermula 2 sehingga 25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi  tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC  iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Kes itu di peringkat hujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan