Sabtu, 23 Januari 2021
PERBICARAAN SRC
28/07/2020 08:59 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka telah menimbulkan lebih daripada melangkaui keraguan yang munasabah terhadap kesemua tujuh tuduhan yang dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata satu daripada pertuduhan, iaitu penyalahgunaan jawatan adalah ‘cacat’ dan menyalahi undang-undang kerana terdapat pertindihan.

“Tarikh pertuduhan untuk penyalahgunaan jawatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

"Tuduhan itu ‘cacat’ dan memudaratkan pihak pembelaan dan mahkamah berkewajipan untuk membebaskan kerana tidak ada cara untuk membuat pembelaan mengenai adakah tertuduh bersalah atas kesalahan pertama atau kedua ketika pertuduhan dibentuk menjadi satu," kata Muhammad Shafee sambil memetik dua keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes pecah amanah (CBT) dan kes SPRM.

Merujuk kepada dua kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, Muhammad Shafee berhujah tuduhan terhadap Najib bagi menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan manfaat untuk dirinya perlu ditolak.

Pihak pembelaan juga berhujah bahawa bagi tuduhan pengubahan wang haram, intipati seksyen berkenaan adalah untuk membuktikan bahawa wang yang diterima adalah daripada hasil perbuatan jenayah.

“Tidak boleh melakukan kesalahan pengubahan wang haram tanpa membuktikan bahawa wang yang diterima memang merupakan perbuatan yang tidak sah. Pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa anak guam saya tahu atau mempunyai pengetahuan bahawa sumber wang itu adalah hasil jenayah, dan itu bukan masalahnya,” kata peguam itu.

Mengenai tiga tuduhan CBT, peguam itu berkata  terdapat peruntukan bagi ketiga-tiga tuduhan tersebut menjadi satu, kerana transaksi dilakukan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, kesalahan pertama dan kedua masing-masing melibatkan RM27 juta dan RM5 juta, didakwa berlaku pada 26 Dis 2014 sementara yang ketiga pada 10 Feb 2015 melibatkan RM10 juta.

"Ketiga-tiga tuduhan CBT berlaku dalam masa dua bulan, namun pihak pendakwaan mengenakannya dalam tiga tuduhan yang sepatutnya tidak perlu," katanya.

Semasa mengakhiri hujahnya hari ini, Muhammad Shafee mengucapkan terima kasih kepada hakim kerana bersabar mendengar perbicaraan yang panjang dan mengatakan bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan pembelaan lebih daripada melangkaui keraguan yang munasabah untuk beliau pertimbangkan.

"Saya memohon mahkamah agar membebaskan Najib terhadap semua (tujuh) tuduhan," katanya.

Pendakwa raya ad hoc Datuk V.Sithambaram dalam hujah balasnya berkata tiada pertindihan atau prejudis terhadap tuduhan tersebut memandangkan Najib menghadiri mesyuarat Kabinet yang meluluskan dua jaminan kerajaan (GG) kepada SRC.

Beliau berhujah mesyuarat Kabinet dan GG adalah untuk syarikat yang sama (SRC) dan dengan kapasiti yang sama sebagai pegawai awam, perdana menteri serta menteri kewangan dan untuk manfaat yang sama, oleh itu tidak ada pertindihan.

"Sekiranya mendapat manfaat RM42 juta, dipecahkan kepada dua tuduhan berasingan, ia bermakna beliau mengambil RM84 juta," katanya.

Beliau berkata Najib mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap syarikat itu dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pegawai awam.

"Ini adalah kes pendakwaan bahawa tertuduh adalah pengarah bayangan SRC," katanya menangkis hujah pembelaan.

Katanya lagi, syarikat itu juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kehilangan RM42 juta itu.

“Ini jelas mengesahkan bahawa semua ini dilakukan dengan pengetahuan dan semua yang dilakukan untuk menyembunyikan kesalahan ini daripada ditunjukkan kepada dunia," katanya.

Najib berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, terdiri tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, dan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos, 2011, dan 2 Mac 2015.

Selepas prosiding berkenaan, Sithambaram memberitahu media bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap tujuh pertuduhan dan hakim kini perlu menilainya.

"Saya yakin fakta berada di pihak pendakwa. Kami telah menjalankan tugas kami dan membuktikan kes kami melangkaui segala keraguan yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee pula menyatakan keyakinannya yang pihak pembelaan telah mengemukakan pembelaan dengan baik untuk menangkis tujuh tuduhan yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan