Khamis, 26 November 2020
PERBICARAAN SRC
27/07/2020 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai  -- Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan bermula 5 Julai tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan pada bulan Julai iaitu 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai selepas pengurusan kes hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 11 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib, 67.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen tetapi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 selepas pihak pendakwaan membuat permohonan.

Najib juga dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC RM42 juta dan kes itu ditetapkan untuk keputusan esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-- BERNAMA  

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan